Keputusan Kabinet membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan Timah mengekalkan namanya, meskipun sudah ditentang keras sebelum ini sangat mengecewakan.
Walhal sebelum ini, majoriti Ahli Parlimen muslim baik dari kerajaan mahupun pembangkang dilihat bersetuju supaya nama kontroversi itu ditukar dan satu polisi dibuat rentetan isu ini.
Haji Aminuddin Yahaya selaku pengerusi Pembela berkata :
“Entah kenapa Kabinet sendiri memutuskan sesuatu yang lain. Nama ‘Timah’ dibolehkan untuk digunakan pada jenama wiski itu. Keputusan Kabinet adalah keputusan kolektif yang dianggotai oleh menteri-menteri dan diketuai Perdana Menteri,”
Beliau juga meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik Melayu yang seolah-olah apologetik untuk meraih undi daripada pihak tertentu sambil mempersoalkan sama ada Kabinet tunduk kepada desakan mana-mana pihak dalam isu ini.
Terdahulu, kerajaan membuat keputusan membenarkan arak jenama tempatan, Timah yang sebelum ini mencetus kontroversi untuk mengekalkan nama itu.
Perkara itu diputuskan oleh Kabinet dan dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.