Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 RAMADAN — Tentera Penjajah Israel (IOF) mendesak penduduk Gaza berpindah ke selatan wilayah itu bagi mengelak serangan yang berlanjutan sejak minggu lalu.
IOF mengeluarkan arahan itu kepada penduduk utara Gaza selepas mendakwa roket dari kawasan tersebut ditujukan ke wilayah Israel, lapor Reuters.
“Demi keselamatan, penduduk harus segera berpindah ke tempat perlindungan di selatan,” kata IOF menerusi arahan yang dikeluarkan kepada penduduk di Jabalia.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza semalam mengorbankan 23 rakyat Palestin selepas IOF menggandakan serangan di sebelah utara.
Keadaan di Gaza semakin parah selepas Israel menyekat bantuan kemanusiaan ekoran rundingan gencatan senjata fasa dua tidak berjaya.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza memberi tekanan kepada penduduk di Jabalia, Beit Lahiya, Beit Hanoun dan Shejaia di Bandar Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan serangan sejak minggu lalu itu bertujuan untuk menekan Hamas agar membebaskan baki 59 tahanan di Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan 730 rakyat Gaza terbunuh sejak Israel melanjutkan serangan di wilayah Palestin minggu lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa tiada wilayah yang aman di Semenanjung Gaza selepas Israel mengarahkan rakyat Palestin berpindah ke selatan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi