Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 RAMADAN — Serangan siber ke atas sistem Kuala Lumpur International Airport (KLIA) telah mengganggu operasi penerbangan yang berlangsung lebih 10 jam menyebabkan ribuan penumpang terjejas.
Menurut sumber, serangan itu menyebabkan sistem seperti paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan pengendalian bagasi tidak berfungsi pada Ahad lalu, demikian menurut laporan NST.
Pendedahan daripada sumber itu bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menyatakan serangan siber itu tidak menjejaskan operasi lapangan terbang.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jenis serangan atau mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Situasi ini bertambah buruk disebabkan kekurangan sistem sandaran yang kukuh, yang melambatkan usaha pemulihan,” kata sumber seperti dipetik laporan NST
Katanya lagi, penemuan awal mencadangkan bahawa pencerobohan siber telah menjejaskani sistem kritikal KLIA menyebabkan gangguan yang berpanjangan.
Terdahulu, Agensi Keselamatan Siber Nasional (Nacsa) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyatakan bahawa serangan ini tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang.
Namun sebaliknya, sumber industri penerbangan berkata papan maklumat penerbangan tidak berfungsi secara berselang-seli selama dua hari selepas serangan itu sebelum kembali normal.
“Tidak boleh kata kami tidak terjejas. Ribuan orang melihat bahawa papan tersebut tidak berfungsi,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi