TEHRAN, 19 ZULHIJJAH – Iran menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengadakan sebarang rundingan gencatan senjata selagi negara itu terus menjadi sasaran serangan ketenteraan negara haram Israel.
Menurut sumber yang dimaklumkan mengenai komunikasi diplomatik, Tehran telah menyampaikan pendirian itu kepada dua negara perantara – Qatar dan Oman – yang sedang cuba meredakan ketegangan antara kedua negara itu.
“Iran telah memaklumkan kepada perantara dari Qatar dan Oman bahawa mereka hanya akan mempertimbangkan rundingan serius selepas selesai memberikan tindak balas terhadap serangan awal Israel,” kata sumber yang enggan dikenali atas sensitiviti konflik tersebut.
Jelas beliau lagi, Iran menyatakan dengan tegas bahawa “tidak akan berunding ketika berada di bawah serangan”.
Konflik semakin memuncak selepas Israel melancarkan serangan mengejut pada pagi Jumaat lalu, yang menyasarkan barisan tertinggi kepimpinan tentera Iran dan beberapa tapak berkaitan program nuklear negara itu.
Serangan tersebut mengorbankan lebih 400 orang di Iran, termasuk 20 komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), saintis nuklear, serta ratusan orang awam.
Kira-kira 1,200 lagi dilaporkan cedera dalam pelbagai serangan udara sejak 13 Jun lalu.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan serangan balas ke atas beberapa wilayah di Israel, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 hingga 16 kematian dan mencederakan lebih 300 orang awam.
Tehran sebelum ini berikrar untuk “membuka pintu neraka” terhadap Israel sebagai balasan atas tindakan rejim Zionis yang dianggap sebagai serangan pendahuluan.
Pemerhati serantau menyuarakan kebimbangan bahawa konfrontasi kali ini berisiko mencetuskan peperangan terbuka yang jauh lebih luas dan mengheret kuasa-kuasa besar dunia ke dalam konflik Timur Tengah yang sudah lama bergolak. – Agensi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi