Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 16 RAMADAN – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu bersifat lebih drakonian berbanding sebelum ini jika dilihat dari satu sudut, kata peguam, Datuk Lukman Sheriff Alias.
Beliau berkata, pindaan terbaharu itu membolehkan hukuman didenda berkait hantaran bersifat lucah, sumbang, palsu dan jelik melampau yang berniat untuk menganggu orang lain dikenakan kompaun maksimum RM500,000.
Katanya, peningkatan daripada denda maksimum RM50,000 itu dilihat melampau dan tidak setimpal kerana kesalahan-kesalahan tersebut dianggap sebagai kecil sahaja.
“Cadangan pindaan untuk merangkumi scam (penipuan) baik tetapi mungkin tidak patut disekalikan bersama dengan kesalahan yang jauh lebih ringan.
“Penipuan ini adalah kesalahan jauh lebih besar jika dibandingkan dengan mencarut atau lucah misalnya.
“Tidak hukuman disekalikan. Patut buat seksyen kesalahan lain seperti kesalahan menipu Seksyen 236 Akta 588,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Lukman berkata, adalah tidak wajar Seksyen 233 digunakan untuk menyekat isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) kerana ia terlalu arbitari.
Katanya, perbezaan pandangan dalam agama ini secara tidak langsung boleh dituduh jelik dan menyalahi tidak kira sama ada ia berbentuk konservatif atau liberal.
“Dari dahulu saya berpendirian kalau kita tak setuju dengan pandangan liberal, kita sanggah mereka dan jawab di media sosial.
“Ini lebih baik dari disekat. Akhi Sekali mereka pun tahu mereka ini kumpulan minoriti setelah ramai menghentam mereka,” katanya sambil menambah ia sebagai satu pendekatan demokrasi berfungsi.
Tambah beliau, dengan pindaan baharu Akta 588 yang mengubah definisi unsur ‘jelik’ kepada ‘jelik melampau’, maka tidak sesuai sekiranya isu 3R terangkum dalam Seksyen 233.
“Dari sudut ini lebih ketat walaupun tetap subjektif. Bila mana ia melampau? Siapa tentukan?
“Kalau ikut literal isu 3R tidak boleh dengan senang terangkum dalam Seksyen 233. Ia mesti jelik yang melampau,” tambahnya.
Dalam pada itu, Lukman turut berpandangan bahawa Malaysia tidak wajar ikut jejak langkah Singapura yang mana isu agama dianggap sebagai sensitif dan tidak boleh dibicarakan secara bebas di khalayak umum termasuk isu perjuangan Palestin.
Katanya, adalah kebih baik jika masyarakat dibenarkan berdebat atau berbahas mahupun berpolemik tentang isu agama dan ras.
“Akta 588 tidak patut digunakan untuk membendung perbincangan ras dan agama. Mana-mana hantaran yang melanggar Akta hasutan perlu diambil tindakan dan dipadamkan.
“Kita ada banyak undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan untuk kesalahan menipu mahupun lucah yang boleh diguna pakai apabila kesalahan itu melampaui batas,” ujarnya
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi