KHAMIS, 6 JANUARI – Kawasan yang teruk terjejas di negeri Selangor akibat banjir besar bermula pada 18 Disember lalu di Kampung Sungai Lui di Batu 19 apabila 12 keluarga terputus hubungan apabila jambatan yang merintangi Sungai Lui ranap dibadai arus ‘Kepala Air’.
Pada 5 Januari, wartawan Azizi Sunip meninjau perkembangan proses pemulihan struktur di lokasi tersebut.
Warjan Sulaiman, Mangsa Banjir berkata :
“…. Alhamdulillah lah semua rakyat tolong rakyat kan….. Keperluan lain boleh cari sendiri lah kan…. Gotong-royonglah buat ramai-ramai….. Yang terputus ni lapan biji rumah…”
Demikian luahan suri rumah yang merupakan saksi pertama apabila kejadian ‘Kepala Air’ membadai kawasan kediamannya yang betul-betul terletak di tebing Sungai Lui di Kampung Batu 19, Hulu Langat Selangor ini.
Kesedihan jelas terpancar di wajahnya, apabila menceritakan saat-saat getir ketika menyelamatkan diri dan keluarga, sejurus sahaja menyedari paras air Sungai Lui di hadapan rumahnya melimpah dan memasuki kediaman pada malam 18 Disember lalu.
Kini, hasil bantuan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan swasta – Serba sedikit meringankan beban yang ditanggung. Namun, kerisauan menyelubungi diri kerana anak-anaknya bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Ujarnya lagi, Warjan Sulaiman :
“…. Kalau harap pihak sekolah dapat ringankan beban kami, buku sekolah ke, yuran sekolah ke, dapat tangguhkan pembayaran ke…. Darjah satu, darjah tiga dan pra lima tahun….”
Bagi menghadapi gelombang kedua banjir di Sungai Lui, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menempatkan kira-kira 200 anggota secara ‘shift’ yang bersiap siaga 24 jam di lima lokasi ‘hot spot’.
Lokasi yang dipanggil pangkalan hadapan itu bertempat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Pejabat Penghulu Batu 14, Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Sungai Lui dan Agro Night Market Nanding di Hulu Langat.
Shahrin Yusmar Mat Yusof, Penguakasa Kanan Bomba 1, Pejabat Zon 4 Hulu Langat berkata :
“…. Bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, kami tidak mengambil mudah dalam situasi yang berlaku pada ketika ini…. Kenaikan paras air yang cepat….”
Selain meletakkan anggota penyelamat di lokasi, tambahnya aset-aset penyelamat juga ditempatkan di lokasi seperti bot getah, bot fiber, kenderaan logistik darat seperti ‘Four by Four’ dan Ambulan EMRS.
Anggota dari tiga Balai Bomba dalam zon empat Hulu Langat turut digerakkan iaitu di Balai Bomba Tun Hussein Onn, Balai Bomba Hang Tuah dan juga Balai Bomba Semenyih.
Wartawan TV Pertiwi, Azizi Sunip melaporkan bahawa sebanyak 895 jambatan, jalan raya dan juga cerun yang terjejas sejak 18 Disember lalu sehingga ke hari ini adalah kesan daripada banjir yang berlaku.
Sejak 18 Disember juga hujan lebat yang dikatakan menyebabkan struktur tanah tidak stabil berlaku di seluruh Semenanjung Malaysia dilaporkan, dan 802 daripadanya telah dibaik pulih, salah satunya pembinaan Jambatan Bailey di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat ini adalah salah satu peruntukan yang dipinta oleh kerajaan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.