Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang menggantikan istilah ‘jelik’ dengan ‘jelik melampau’ menimbulkan kebimbangan serius terutama dalam konteks kebebasan bersuara dan media di Malaysia.
Dalam kenyataan semalam, Gerakan Media Merdeka (GERAMM) berkata, pindaan itu perlu diperhalusi dengan lebih mendalam kerana definisi ‘jelik melampau’ yang tidak muktamad dan tidak jelas membuka ruang kepada salah guna kuasa.
Katanya, tanpa takrifan yang konkrit, takrifan itu bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pegawai penyiasat, pendakwaan dan mahkamah yang boleh dipengaruhi tekanan politik, agenda tertentu atau persepsi yang subjektif.
“Ketidakpastian ini menimbulkan risiko besar, termasuk potensi tindakan undang-undang yang tidak konsisten dan penggunaan kuasa untuk menyekat pandangan kritikal.
“Ia juga boleh mencetuskan budaya ketakutan dalam kalangan rakyat, media dan pengguna media sosial di yang maan mereka mungkin memilih untuk menapis diri bagi mengelakkan risiko pendakwaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tegasnya, prinsip itu jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, GERAMM berkata, kes aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza adalah contoh yang relevan dalam perkara tersebut.
Katanya, sebagai seorang artis satira yang sering menggunakan platformnya untuk mengkritik institusi dan dasar, Fahmi sebelum ini mendapat sokongan daripada pemimpin tertentu yang kini berada dalam kerajaan.
“Namun tindakan undang-undang terhadap beliau menunjukkan betapa undang-undang yang kabur dan tidak jelas boleh digunakan untuk menekan sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang politik mereka.
“Kes seperti ini menonjolkan bepata bahayanya pindaan undang-undang tanpa definisi yang jelas dan proses konsultasi yang inklusif,” katanya.
Justeru, GERAMM perpandangan istilah ‘jelik melampau’ memerlukan perbahasan terbuka yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil, pengamal media dan badan hak asasi manusia.
“Persoalan utama ialah apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan sesuatu kandungan sebagai jelik melampau?
“Jika perkara ini tidak dijelaskan, tafsirannya mungkin terlalu luas sehingga kandungan kritikal terhadap kerajaan atau institusi boleh diklasifikasikan sebagai melampau hanya kerana ia tidak disenangi oleh pihak tertentu,” tambahnya.
Pada masa sama, GERAMM mendesak kerajaan untuk bersikap lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pindaan undang-undang berkenaan.
Tegasnya, penubuhan Majlis Media Malaysia juga perlu disegerakan untuk memastikan isu seperti itu dapat diuruskan dengan cara lebih bebas, adil dan profesional.
“Pindaan undang-undang seperti ini seharusnya bertujuan untuk melindungi rakyat, bukan menyekat hak mereka bersuara atau mempertahankan kebenaran,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI