RIYADH, 6 Syaaban – Arab Saudi menegaskan tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa penubuhan negara Palestin yang bebas, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan.
Riyadh menekankan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi sokongan kerajaan kepada Palestin.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan komitmen mengenai potensi perjanjian damai dengan Riyadh semasa sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Rumah Putih pada Selasa.
“Saya rasa damai antara Israel dan Arab Saudi bukan sahaja boleh dicapai, saya rasa ia akan berlaku,” kata Netanyahu, sambil menambah bahawa beliau dan Trump komited untuk mencapainya.
Dalam sidang media itu, Trump mendedahkan bahawa beliau telah membincangkan cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza dengan pemimpin-pemimpin Timur Tengah lain, mendakwa kononnya mereka menyokong idea tersebut. “Pemimpin-pemimpin lain menyukai idea ini,” katanya.
Namun, sehari sebelumnya, lima menteri luar Arab dan seorang pegawai kanan Palestin telah menghantar surat bersama kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, membantah sebarang rancangan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza.
Surat tersebut yang ditandatangani oleh menteri luar dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar, dan UAE, bersama penasihat Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, pertama kali dilaporkan oleh Axios.
Surat itu dikeluarkan selepas pertemuan diplomat-diplomat kanan di Kaherah pada hujung minggu, menekankan penentangan kuat di peringkat serantau terhadap pemindahan paksa.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://x.com/TvPertiwi
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/
https://t.me/tvpertiwi