Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kejatuhan Indeks Kebebasan Media pada tahun ini disebabkan menghormati kehendak Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri berkata Raja Melayu mengambil pendirian tegas untuk tidak membiarkan kecaman terhadap mereka dibuat di khalayak ramai.
“Kita izinkan orang berbicara tetapi sidang Raja-Raja Melayu sangat tegas. Kita terikat dengan pandangan raja-raja bahawa mereka tidak mengizinkan kecaman di khalayak tanpa tindakan.
“Kalau dibangkitkan umpamanya kecaman terhadap saya itu berbakul-bakul, tidak ada tindakan tetapi kalau ada laporan polis biar mereka yang uruskan.
“Saya tidak mempedulikan sangat hal-hal sedemikian,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim yang membangkitkan isu kemerosotan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media.
Awang berkata kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 107 berbanding 73 pada tahun lalu, menurut laporan Reporters Without Borders (RSF).
Laporan itu menunjukkan Malaysia meraih 52.07 mata berbanding 62.83 mata pada tahun sebelumnya berdasarkan parameter yang diambil untuk rujukan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI