Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 18 Rejab — Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meletakkan keyakinan Israel akur kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza yang akan bermula esok.
Bekas perdana menteri itu berkata Israel sebelum ini ingkar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mencabuli perjanjian gencatan senjata di Lubnan.
“Sekiranya sesiapa percaya bahawa negara yang melanggar resolusi PBB yang tidak terkira banyaknya dan tidak mengendahkan pandangan dunia akan menghormati usaha itu
“Adakah sesiapa percaya bahawa Israel yang telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang lalu dengan Hizbullah akan memilih untuk mematuhinya kali ini?
“Saya ragu dengan perjanjian gencatan senjata Gaza. Mungkin saya pesimis,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Kabinet Israel hari ini meluluskan perjanjian gencatan dengan pertukaran tahanan dijangka akan bermula lewat petang esok.
Fasa pertama perjanjian itu menyaksikan pertukaran tahanan dan pengunduran tentera penjajah dari Gaza sebelum berganjak ke fasa dua selepas enam minggu.
Tun Mahathir berkata Israel cukup dikenali dengan sifat penyangak dan tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
Katanya, rakyat Gaza mungkin terlalu awal meraikan perjanjian itu dengan terdapat kemungkinan Israel kembali menyerang wilayah itu.
“Israel adalah penyangak; bangsa yang suka berperang. Sifat agresif tidak akan membenarkannya untuk menghormati sebarang perjanjian atau undang-undang.
“Beberapa hari sebelum gencatan senjata, mereka meningkatkan serangan, membunuh seramai mungkin rakyat Palestin. Ia adalah sifat mereka untuk kejam membunuh.
“Maafkan pesimisme saya. Tetapi kegembiraan yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza adalah terlalu awal. Saya harap saya salah,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: