Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 18 RAMADAN — Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa masyarakat tidak memberi persepsi salah berhubung usaha Malaysia menerima 15 pejuang Palestin.
Menteri Luar itu berkata langkah tersebut merupakan tanggungjawab Malaysia dalam memainkan peranan aktif di persada antarabangsa, lapor BERNAMA.
“Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin sudah berjaya kumpul RM99 juta menunjukkan rakyat kita murah hati dan berjiwa besar.
“Jadi apalah dengan bawa 15 orang itu. Kita juga hendak lihat warga Palestin yang dianiaya sejak lebih 70 tahun menikmati erti gencatan senjata,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran di Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Katanya, Malaysia bersedia untuk menerima 15 pejuang Palestin itu jika perjanjian gencatan senjata dapat kembali dimuktamadkan.
“Kita mengambil bahagian dalam usaha perdamaian, sebagai syarat gencatan senjata dibuat atas inisiatif Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
“Iaitu jika dibebaskan mereka tidak boleh balik ke kampung halaman. Jadi kita bersetuju, asas kita ialah mahu gencatan senjata, yang lain-lain adalah sampingan.
“Hamas bebaskan tawanan perang, Israel bebaskan orang Palestin sebagai pejuang hak kebebasan untuk mendapat negara merdeka,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin mendapatkan kemerdekaan dan keputusan menerima 15 pejuang itu tidak akan membebankan negara.
Katanya, pejuang berkenaan ditahan Israel sejak 20 ke 30 tahun lalu dan belum dibicarakan malah tidak dibenarkan pulang ke Palestin sekiranya dibebaskan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi