Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Khamis – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar sekadar mahu melepaskan dirinya daripada jerat perangkap yang dibentuk oleh beliau.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar Ibrahim didakwa “bersilat’ di saat menjawab soalan mengenai lawatan rasmi Anwar merentasi tiga benua di lima negara baru-baru ini.
Bekas perdana menteri itu turut membidas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung penjelasannya mengenai perkara itu.
“Saya tengok dia (Anwar) bersilat, dari parlimen, di luar parlimen, menteri komunikasi jawab, lepas tu ada pegawai membuat penjelasan.
Perdana Menteri jawab menteri balik, apa makna? Dia cuma nak cari jalan nak lepaskan diri daripada perangkap yang dia buat sendiri,” katanya seperti yang dipetik Malaysiakini pada Khamis.
Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah membawa anak-anaknya menaiki penerbangan rasmi semasa menjadi perdana menteri.
“Saya Perdana Menteri juga dulu, saya tak pernah bawa anak-anak saya naik kapal terbang. Padahal tempted (teringin), nak kawan saya bagi, tapi saya kata ‘No’. Peraturannya tak boleh,” tegasnya, merujuk kepada kritikan mengenai kehadiran anak Anwar Nurul Izzah di beberapa acara semasa lawatan rasmi itu.
Fahmi sebelum ini menjelaskan bahawa pihak penganjur menjemput Nurul Izzah.
Sebelum ini, Anwar menjelaskan kerajaan telah bekerjasama dengan syarikat swasta sebagai kaedah untuk mengurangkan perbelanjaan perjalanan.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan mengenai kos perjalanan 11 hari berkenaan pada minggu lalu.
“Maknanya, kalau tidak silap saya, sekitar 70 hingga 80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat swasta ini yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara-negara berkenaan kerana kerajaan membantu syarikat-syarikat ini sama ada mereka mengimport atau mengeksport,” tambahnya.
Sumber: Malaysiakini
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI