Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 20 Rejab — Penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bakal terlaksana apabila Gateway Development Alliance (GDA) mengurangkan syarat penerimaan tawaran kepada 85 peratus.
GDA yang diketuai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata tawaran RM11 sesaham tidak berubah seperti diumumkan pada November tahun lalu.
“Selepas mendapat penerimaan 86.5 peratus, GDA menjangkakan untuk mengisytiharkan tawaran itu tanpa syarat dan kekal yakin jumlah penerimaan akan melebihi 90 peratus.
“GDA ingin mengingatkan pemegang saham yang masih belum menerima tawaran itu, kecairan akan berkurangan sebaik sahaja MAHB dikeluarkan daripada indeks.
““MAHB akan dinyah senarai dari Bursa Malaysia. Mereka bakal menghadapi risiko memegang saham tidak tersenarai,” katanya memetik laporan Dagang News.
Konsortium itu berkata harga RM11 sesaham akan dilanjutkan bermula Jumaat ini sehingga 4 Februari depan serta segala terma dan syarat tidak berubah.
Sebelum proses penswastaan, Khazanah memiliki pegangan 33.2 peratus dan KWSP 7.9 peratus kepentingan sementara Abu Dhabi Investment sekadar 0.13 peratus.
Jika proses penswastaan itu berjaya, Khazanah akan memiliki pegangan saham terbesar 40 peratus dalam konsortium itu dengan KWSP sebanyak 30 peratus.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: