Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Pemansuhan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sememangnya sukar dilakukan dan perkara ini sudah lama cuba dijelaskan ketika era pentadbiran Barisan Nasional dahulu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, disebabkan penjelasan yang diberikan tidak diterima ramai, maka Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak teruk dikecam dan dihina.
“Kita dah cakap lama dah sejak dari zaman BN kerajaan dulu.
“Tapi tak nak percaya malah kutuk lagi kerajaan ketika itu dan berbakul Najib Razak dimaki dan dihina,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Semalam Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dalam Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan sukar untuk memansuhkan hutang PTPTN disebabkan komitmen kewangan kerajaan yang begitu besar.
Topik ini menjadi tuntutan ramai apabila ia mula dijanjikan Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang semasa pentadbiran Najib.
Berbanding melupuskan semua hutang tersebut, kerajaan pada ketika itu menawarkan pelepasan kepada graduan yang meraih keputusan cemerlang.
“Mungkin antara cadangan semasa zaman BN dahulu untuk beri percuma kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dan pengurangan kepada peminjam yang lain terutama dari keluarga yang kurang kemampuan boleh diteruskan,” tambah Akmal.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI