Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Kerajaan disaran pertimbangkan semula pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 yang mana ia dibimbangi akan mendorong kenaikan harga barangan pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kerajaan memberi jaminan keputusan itu hanya akan tertumpu kepada kelompok T15, namun ia akan mencetuskan kesan berantai yang boleh memberi impak terhadap rakyat secara menyeluruh.
“Jika mereka (T15) adalah golongan peniaga dan usahawan, kos kenaikan harga petrol yang terpaksa ditanggung mungkin akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
“Akhirnya yang terjejas dengan penarikan subsidi petrol ini bukan hanya golongan T15 tetapi juga B40 dan M40,” katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mempersoalkan sama ada kelompok T15 sememangnya terdiri daripada golongan maha kaya atau sebaliknya.
Katanya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan isi rumah yang berpendapatan RM13,295 adalah tergolong dalam kelompok pendapatan 15% tertinggi di Malaysia.
Justeru, bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka mungkin terdiri daripada pasangan suami isteri yang berpendapatan RM7,000 sebulan.
“Mereka bukanlah golongan maha kaya. Dengan hutang rumah, kereta, yuran pendidikan anak-anak dan lain-lain, pendapatan boleh guna mungkin tidak seberapa untuk menyerap kenaikan harga petrol,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pengumuman menaikkan gaji minima daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula Februari 2025, Muhyiddin berkata keputusan itu perlu disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas.
“Akan jadi masalah jika majikan memindahkan kos upah pekerja ekpada pengguna. Harga barang dan perkhidmatan sudah pasti akan naik.
“Ini akan memberi kesan kepada kuasa membeli penggguna, apatah lagi ditambah dengan beban kos perbelanjaan yang sedang dirasai rakyat akibat rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif elektrik dan air, peningkatan SST dan cukai-cukai lain.
“Akhirnya pekerja yang naik gaji ini juga akan habis wang tampung perbelanjaan harian,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI