Rumah ibadat haram: Ambil tindakan tegas kepada penceroboh, bukan beri pampasan

PETALING JAYA, 19 JAMADILAWAL – Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu pencerobohan tanah tanpa menawarkan sebarang pampasan kepada penceroboh.

Aktivis tanah, Tamim Dahri berkata, pemberian pampasan seperti dana atau tanah baharu kepada penceroboh tanah sebenarnya tidak menyelesaikan sebarang masalah, malah, lebih menggalakkan pihak-pihak lain untuk melakukan pencerobohan di tempat lain pada masa akan datang.

Justeru, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap sikap acuh tak acuh oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dilihat seperti tidak mempedulikan pencerobohan tanah kubur di Petaling Jaya seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Beliau merujuk kepada kewujudan tiga rumah ibadat haram iaitu dua kuil dan satu gurdwara yang dipercayai telah wujud sejak tahun 2014.

“Tanah ini asalnya memang secara asasnya tanah kerajaan dan diwartakan kepada JAIS sebagai pengawal dan penyelenggara bagi tanah ini.

“Maka atas tanggungjawab JAIS sepatutnya mengawal daripada penceroboh masuk. Mungkin patut buat pagar sendiri – pagar yang ada pada hari ini didirikan oleh pengusaha rumah ibadat haram ini.

“Apabila sudah kesan pencerobohan maka sepatutnya JAIS bertindak proaktif untuk mengeluarkan penceroboh serta-merta. Saya difahamkan sejak 2012 lagi mereka dirikan binaan ini,” katanya kepada TV Pertiwi.

Pada 1 November lalu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah memaklumkan bahawa JAIS telah melaporkan pencerobohan itu kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Katanya, laporan itu supaya tindakan penguatkuasaan yang wajar dapat diambil berlandaskan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, beberapa cadangan tapak baharu sedang diteliti oleh MBPJ.

“Pertama, tapak baharu ini haruslah  di atas tanah yang telah diwartakan oleh Pejabat Daerah  dan Tanah Petaling sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam secara sah dengan keluasan tanah yang munasabah.

“Kedua, tapak baharu ini haruslah berada dalam jarak yang sesuai untuk dilawati oleh pengunjung sedia ada. 

“Ketiga, segala kos perobohan setruktur lama, pemindahan dan pembangunan struktur di tapak baharu haruslah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Gurdwara dan kuil, memandangkan mereka telah memperakui bahawa struktur-struktur ini sebenarnya dibina secara tidak sah,” katanya.

Fahmi berkata, tindakan penguatkuasaan akan tetap dilaksanakan, namun ia akan mengambil sedikit masa kerana urusan-urusan tanah pada tapak baharu itu memerlukan masa untuk diteliti dan diselesaikan secara sah.

Mengulas mengenai maklum balas daripada Fahmi yang mewakili kerajaan Selangor, Tamim menyifatkan ia sebagai penyelesaian yang tidak adil kerana pendekatan ini ditafsirkan sebagai ‘kemenangan’ kepada penceroboh.

Malah, katanya, pampasan tanah juga tidak disebut dalam mana-mana peruntukkan dalam Kanun Tanah Negara. 

“Kita sedia maklum bahawa tanah ini bersifat terhad. Kita tak boleh beri sewenang-wenangnya tanah kepada penceroboh,” ujarnya.

Tegas Tamim, permintaan daripada penceroboh sepatutnya tidak wajar dilayan, sebaliknya dikenakan tindakan tegas seperti hukuman denda yang tinggi atau penjara.

“Saya menyeru kepada penduduk, EXCO agama, kepada wakil rakyat supaya bertindak mengikut undang-undang.

“Undang-undang ini bukan selektif. Bukan untuk sesetengah kaum, sesetengah agama, bahkan untuk semua.

“Semua rakyat Malaysia patut patuh undang-undang. Kalau satu golongan tak patuh pada undang-undang, maka apa yang terjadi pada negara kita,” soal beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia berisiko jadi negara lindungan AS – Kadir Jasin

Next Post

Ireland sertai gesaan haramkan Israel dari bola sepak Eropah

Related Posts