BANGI, 19 JAMADILAWAL – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menegur tindakan kerajaan Malaysia yang disifatkannya tergesa-gesa tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) apabila menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Oktober lalu.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, gabungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, telah terlalu tergesa-gesa tunduk kepada ancaman Trump,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beberapa media antarabangsa serta penganalisis luar berpandangan kerajaan Malaysia terlalu cepat tunduk kepada Washington.
“Media massa, diplomat dan penganalisis luar yang tidak kena mengena dengan kita pun kata, kerajaan Malaysia telah tunduk kepada Trump terlalu cepat dan berlebihan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kadir berkata, dasar perdagangan Amerika di bawah pentadbiran Presiden Donald John Trump bukan bertujuan memperkukuh ekonomi dunia, sebaliknya memaksa negara lain menanggung beban ekonomi Amerika yang tidak produktif.
“Presiden Donald John Trump adalah ahli perniagaan. Beliau bukan ahli ekonomi atau pentadbiran. Matlamat beliau sekarang adalah memaksa satu dunia memikul beban ekonomi Amerika yang tidak produktif,” katanya.
Menurutnya, ekonomi Amerika kini berdepan ketidakseimbangan, di mana negara itu berbelanja lebih banyak daripada yang dihasilkan, serta mengimport lebih banyak daripada mengeksport.
“Barang buatan tempatan mahal, barang import murah. Jadi Amerika import,” katanya.
Bagi menutup jurang ini, Trump mengenakan tarif atau cukai import yang tinggi ke atas kira-kira 100 negara di dunia. Namun, tindakan tersebut akhirnya menjejaskan pengguna dan petani di negaranya sendiri.
“Untuk tutup jurang ini, Trump kenakan tarif (cukai import) yang tinggi ke atas kira-kira 100 negara di dunia. Harga barang-barang import naik. Pengguna Amerika susah. Negara-negara luar berhenti beli hasil pertanian Amerika. Petani Amerika susah,” ujarnya.
Beliau memetik laporan firma perunding guaman antarabangsa, Hogan Lovell, yang menyatakan bahawa petani dan pengguna Amerika menanggung kesan buruk daripada dasar tarif pentadbiran Trump.
Dasar tersebut turut dibantah oleh ahli Kongres dan hakim Mahkamah Agung Amerika kerana dianggap melanggar undang-undang negara itu.
“Ramai Ahli Kongres (Parlimen Amerika) kata, perintah tarif Trump adalah haram kerana langgar undang-undang. Mereka mahu perintah itu dibatalkan.
“Bukan Kongres saja bangkang. Hakim-hakim Mahkamah Agung Amerika pun mempersoalkan kesahihan perintah Trump itu di sisi-sisi undang-undang,” katanya.
Trump kini dikatakan berada dalam keadaan terdesak kerana mengakui sekiranya perintah tarifnya disekat, Amerika terpaksa membayar balik bertrilion dolar.
“Maksudnya, tarif Trump ini buruk kepada dunia dan kepada rakyat jelata Amerika sendiri. Sebab itulah Ahli Parlimen Amerika, termasuk daripada parti beliau sendiri, Republican, menentang perintah beliau itu,” jelasnya.
Beliau turut memetik amaran Pengarang Perdagangan Financial Times London, Alan Beattie, yang menyifatkan perjanjian perdagangan itu berisiko menjadikan Malaysia sebagai ‘vassal state’ atau negara lindungan Amerika.
“Kalau zaman dulu kala, kena hantar wang emas (ufti). Sekarang elemen nadir bumi,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi