Kuota petrol 800 liter, syarat perjalanan 5,000km tidak realistik untuk pemandu e-hailing – TPAD

Presiden TPAD, M Nathan

BANGI, 13 JAMADILAWAL – Pendekatan kerajaan untuk menaikkan kuota petrol RON95 kepada 800 liter bagi pemandu e-hailing yang tertakluk kepada syarat perjalanan 5,000 kilometer adalah tidak wajar dan tidak realistik, kata Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD).

Presidennya, M. Nathan berkata, pendekatan bersyarat seperti yang diumumkan kerajaan hari ini, tidak akan menyelesaikan masalah kos operasi yang kian meningkat.

Malah, katanya, ia hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakadilan kepada ribuan pemandu.

Terdahulu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan untuk meletakkan syarat pemanduan 5,000 kilometer sedangkan setiap pemandu e-hailing mempunyai corak operasi yang berbeza.

“Ada yang bekerja sepenuh masa, separuh masa, atau menggunakan pelbagai platform dalam satu masa.

“Syara ini langsung tidak mencerminkan kepelbagaian sebenar cara pemandu mencari rezeki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan program Budi Madani (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang layak hingga 800 liter sebulan, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

Sebelum ini, kuota tambahan yang diberikan kepada pemandu e-hailing ialah 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima pemandu e-hailing yang layak ialah 600 liter – selepas gabung dengan kuota subsidi peribadi yang diterima.

Pada masa sama, Nathan turut mempersoalkan penetapan mekanisme yang digunakan kerajaan menerusi pengumpulan data daripada platform syarikat e-hailing.

Beliau berkata, rekod dalam aplikasi hanya mencatatkan perjalanan berbayar tetapi tidak mengambil kira jarak sebenar kenderaan, termasuk masa menunggu, perjalanan kosong (tanpa penumpang), serta penggunaan individu berkaitan dengan kerja atau sendiri.

“Justeru, data platform tidak boleh dijadikan ukuran sebenar operasi pemandu.

“Kami tidak menuntut kuota tanpa had namun kami menolak mekanisme bersyarat dan tidak praktikal seperti ini.

“Jami juga memohon agar kuota subsidi tidak diambil daripada kuota peribadi pemandu. Sebagai alternatif, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan kad fleet khas untuk pemandu e-hailing dan p-hailing yang berdaftar dengan sistem pemantauan yang telus, mudah dan tidak mengganggu data peribadi platform, ujarnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri dirayu untuk memanggil pihak persatuan untuk berbincang bersama dalam memutuskan sebarang syarat serta mekanisme yang lebih adil dalam penyelesaian isu Budi Madani 95 berkaitan pemandu e-hailing dan p-hailing.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Gunalah bahasa Melayu, patutnya bangga dengan bahasa kebangsaan’

Next Post

Jangan biarkan mulut lebih laju daripada akal

Related Posts