BANGI, 20 SAFAR – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, ketika mangsa berusia 13 tahun.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, sekali gus menolak rayuan akhir Siti Bainun.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan, melampaui keraguan munasabah.
“(Dan) perayu telah gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dengan ini sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan, rayuan atas sabitan adalah ditolak,” kata Azman ketika membacakan penghakiman.
Hakim berkata, panel berpuas hati tiada kekhilafan fakta atau undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mengekalkan dapatan terperinci Mahkamah Sesyen, lapor media tempatan.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mensabitkan Siti Bainun dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, selain mengarahkan beliau menandatangani bon berkelakuan baik lima tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM5,000.
Beliau juga diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, atas kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.
Siti Bainun yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak dua tahun lalu, sebelum ini gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman.
Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut, sebelum beliau membawa kes ke Mahkamah Rayuan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi