ISNIN, 29 NOVEMBER – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Singapura untuk memulakan lawatan rasmi beliau sempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.
Ketibaan beliau di Woodlands Checkpoint pada pukul 10.45 pagi tadi disambut oleh rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong, sebelum kedua-dua pemimpin itu melawat VTL sempadan barat.
Ketika lawatan itu, Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan Datuk Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, ia juga merupakan lawatan kedua beliau ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lepas. Sebelum ini beliau melawat Indonesia untuk lawatan rasmi 3 hari bermula 9 Nov.