KOTA BAHRU, Isnin – Kerajaan negeri Kelantan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya tersebut.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SPRM. Sepanjang pentadbiran PAS di Kelantan, tiada seorang pun pegawai negeri kita didakwa di mahkamah kerana rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.”
DATUK MOHD AMAR NIK ABDULLAH/ Timbalan Menteri Besar Kelantan
Beliau berkata Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan kes pencerobohan balak.
Bagaimanapun ujarnya, sepanjang pentadbiran PAS di Kelantan, tiada seorang pun pegawai negeri ini didakwa di mahkamah kerana rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Mohd Amar turut mengingatkan orang ramai untuk melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah melibatkan kerajaan negeri kepada pihak berkuasa yang berkaitan, bukannya membuat dakwaan palsu di media sosial.
Terdahulu, SPRM Kelantan telah dilaporkan mengambil dokumen daripada beberapa jabatan negeri bagi membantu siasatan kes pembalakan haram, yang didakwa berlaku di Nenggiri. Beberapa individu dijangka akan dipanggil SPRM, termasuk kakitangan kerajaan dan mereka yang terlibat dalam pembalakan, untuk membantu dalam siasatan.
SPRM mula menyiasat perkara itu selepas menerima maklumat mengenai dakwaan pembalakan haram di hutan simpan awal bulan ini. Polis Gua Musang baru-baru ini mengesahkan menerima laporan mengenai pencerobohan hutan simpan Nenggiri pada 2 Jun lalu.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/20/zuraida-masih-mahu-menjadi-menteri/