eBrelle bolehkan OKU penglihatan guna AI

BANGI, 21 ZULHIJJAH — Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meluas digunakan dalam pelbagai bidang kini boleh digunakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dengan peranti eBrelle.

eBrelle, komputer riba pertama di negara ini khusus untuk komuniti berkenaan, menjadi kenyataan hasil kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan EDOTE Sdn Bhd yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini. 

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, menyifatkan pelancaran eBrelle sebagai lambang komitmen universiti dalam menjunjung prinsip keterangkuman dan pendidikan untuk semua.

“MoU itu mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan teknologi Braille berasaskan (AI), khususnya dalam menghasilkan kandungan pembelajaran digital Islamik seperti modul Iqra’ Braille.

“Dengan termeterai MoU ini, USIM akan menyumbang dari segi kandungan pembelajaran yang selari dengan keperluan komuniti OKU Penglihatan, manakala EDOTE Sdn Bhd akan membangunkan dan memasarkan produk digital Braille ini.

“Inisiatif ini menyemarakkan aspirasi USIM Cemerlang, USIM Disayang,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di USIM, Bandar Baru Nilai.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Certificate of Conformity (COC) oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd, Ts Md. Adha Katnit, membuktikan bahawa eBrelle memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Produk inovasi ini yang mendapat pengiktirafan dan piawaian dari SIRIM QAS International membolehkan golongan OKU Penglihatan mengakses ChatGPT dan AI generatif secara terus, malah menggantikan kamus Braille fizikal setebal 35 jilid.

Peranti ini turut dilengkapi dengan teknologi penterjemahan imej yang mampu menyampaikan maklumat visual dalam bentuk Braille.

Lebih membanggakan, produk ini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan kini dieksport ke Kanada, Amerika Syarikat, dan United Kingdom, sekali gus membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu bersaing di peringkat global.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EDOTE, Dr Nor Afifah Shabani, berkata sinergi bersama USIM ini adalah langkah penting dalam menjamin kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU penglihatan.

“eBrelle akan membantu mereka memahami maklumat semasa termasuk dalam bentuk imej yang sebelum ini sukar diakses, menjadikan mereka setanding dengan masyarakat umum,” ujarnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Menteri tak faham bidang sendiri, punca kementerian lembab – Aminuddin

Next Post

Pelbagai program dan sambutan bebankan guru, kurangkan masa PdP

Related Posts