BANGI, 24 SAFAR – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa ada usaha untuk menutup atau melengahkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengakui terdapat ketidakpatuhan terhadap beberapa prosedur, tetapi menegaskan bahawa perkara itu tidak menjejaskan integriti siasatan.
Beliau turut menyatakan bahawa, siasatan polis terhadap kes itu juga mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua (TYT) Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Siasatan kita menyeluruh dan terperinci. Kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu, sudah timbul beberapa kenyataan seperti (pelaku) yang terbabit adalah cucu kepada TYT, pengetua adalah isteri menteri dan cara mati didera di mesin basuh,” katanya pada sesi penerangan kematian Zara Qairina di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin berkata, dapatan itu yang berdasarkan hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil, turut tidak menemui sebarang bukti yang mangsa meninggal dunia akibat didera dalam mesin basuh.
Sementara itu, katanya polis bertanya sebanyak dua kali kepada ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, berhubung pelaksanaan proses bedah siasat terhadap anaknya ketika berada di hospital pada 17 Julai lalu.
Beliau berkata, Noraidah tetap tidak mahu proses itu dilakukan bagi menyegerakan pengebumian.
“Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.
“Di sini, pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
“Pegawai polis pula bila diminta maklumkan kepada ibunya. Ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibunya dan ibu kekal dengan pendirian,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, Noraidah kemudian mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan oleh kakak iparnya.
“Dokumen semua siap dan keputusan itu dibuat atas kehendak ibu dan didokumenkan secara sah. Sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya (permintaan ibu).
“Dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) itu dianggap sebagai tidak patuh dan ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi