BANGI, 21 ZULHIJJAH – Negara sukar untuk maju ke hadapan kerana pelantikan menteri tidak dibuat berdasarkan kekuatan ilmu dan pengetahuan, sebaliknya kerana kedudukan dalam parti politik.
Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya berkata, terdapat menteri yang dilantik bukan atas asas keupayaan atau kepakaran dalam bidang tertentu, tetapi kerana menang dalam pilihan raya dan memegang jawatan tinggi dalam parti.
Keadaan ini, katanya, menyebabkan menteri tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila memegang tampuk kementerian, sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada penjawat awam.
“Mana mungkin kementerian boleh bergerak baik jika menteri tidak tahu menahu mengenai kementerian yang mereka terajui.
“Bayangkan orang sastera memegang kewangan atau ekonomi, atau orang agamawan memegang alam sekitar dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan, keadaan seperti ini bukan sahaja melambatkan gerak kerja kementerian, malah turut memberi kesan kepada semangat penjawat awam yang terpaksa menerangkan setiap perkara kepada menteri yang tidak memahami bidang tersebut.
“Beban penjawat awam bertambah,” katanya tanpa merujuk kepada sesiapa.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pelantikan menteri dibuat dalam kalangan mereka yang benar-benar memahami bidang kementerian terbabit.
“Ini boleh dilakukan dengan melantik menteri dari kalangan Senator yang boleh dipilih daripada golongan pakar, bukan kerana mereka memegang jawatan dalam parti,” katanya.
“Renungkanlah!” tegasnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi