Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Kerajaan sedang menjalankan kajian mendalam mengenai aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertahanan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha strategik untuk merapatkan jurang keupayaan dalam aspek tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, kajian itu meliputi pelbagai perkara seperti penggunaan AI dalam sistem persenjataan bagi meningkatkan ketepatan serangan sambil mengurangkan kerosakan sampingan semasa operasi ketenteraan.
“AI dalam keselamatan siber yang menumpukan kepada penggunaan AI untuk mengesan, mencegah serta bertindak balas terhadap serangan siber, melindungi rangkaian kritikal.
“Pemprosesan dan analisis data yang menumpukan kepada penggunaan teknologi AI bagi memproses data dari pelbagai sumber untuk mengenal pasti corak dan ancaman, lalu meningkatkan kesedaran situasi dan keupayaan pertahanan,” katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali yang meminta kerajaan menyatakan kesediaan melaksanakan penggunaan AI yang menyeluruh dalam sektor ketenteraan.
Mengulas lanjut, Adly berkata, memanfaatkan AI dalam membuat keputusan secara pantas adalah elemen penting dalam memperkukuhkan kawalan dan operasi ketenteraan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur AI yang kukuh dan selamat perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi menyokong sistem pertahanan negara.
“Kerajaan turut menekankan pembangunan bakat, kolaborasi dengan institusi akademik dan industri, serta rangka kerja etika yang jelas untuk memastikan penggunaan AI dijalankan secara bertanggungjawab dan selaras dengan etika antarabangsa.
“Dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, kementerian ini juga berhasrat melaksanakan pembangunan teknologi strategik dengan memberi fokus kepada teknologi kritikal seperti sistem tanpa pemandu, senjata pintar, teknologi angkasa dan AI,” ujarnya.
Tambah beliau ia bagi memacu inovasi, meningkatkan keupayaan modal insan serta memperkukuhkan kerjasama antara semua pemegang taruh bagi membina ekosistem pertahanan yang kukuh.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI