Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan siasatan segera ke atas skandal rasuah melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa perlu menunggu sebarang aduan secara rasmi oleh mana-mana pihak.
Menurut Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, PAS memandang serius isu tersebut dan menyifatkan dakwaan yang melibatkan lapan orang ADUN sebagai perosak integriti institusi politik serta demokrasi di negara ini.
“PAS memohon SPRM untuk memulakan siasatan secara telus, adil, dan menyeluruh terhadap dakwaan ini tanpa berlengah lagi,
“Tindakan segera perlu diambil untuk membuktikan komitmen SPRM dalam memerangi gejala rasuah yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat serta mencalarkan imej negara di mata dunia,” katanya.
Dalam pada itu, PAS menyeru kepada semua pihak untuk tidak mencetuskan spekulasi yang tidak berasas sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“Kita percaya bahawa kebenaran akan muncul melalui proses siasatan yang telus dan profesional oleh pihak berkuasa,
“PAS komited dalam memperjuangkan politik bersih dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk amalan rasuah,” ujarnya di laman Facebook pada malam Isnin.
Sehubungan itu, PAS menasihatkan setiap individu yang terlibat dalam kancah rasuah yang tidak bermoral ini dan sekiranya terbukti bersalah, ianya wajar dikenakan tindakan undang-undang yang sewajanya tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video yang mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai perkara berkenaan.
Bagaimanapun, tegas beliau, pemberi maklumat perlu membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan sebarang proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI