SELASA, 23 NOVEMBER – Setelah Pilihan Raya Negeri, Melaka berakhir sabtu lalu, kini timbul usaha untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-15.
Awalnya, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat supaya mandat baharu dapat diserahkan semula kepada rakyat.
“Saya cakap dengan Perdana Menteri, semalam, kita perlu mempertimbang untuk menyegerakan PRU. Suka atau tidak, kita tunggu hingga Julai tahun depan sebab perjanjian (persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang). Ini pun tidak tahulah kerana banyak yang kalah teruk di Melaka… tidak tahulah kalau mereka akan ‘pull the plug’ (menarik diri).’’ – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaik saja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam, dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini.
Mohamad menjelaskan, beliau bukan mahu memberi tekanan untuk PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini. Namun katanya tiada salahnya jika dibandingkan untuk UMNO perlu menunggu hingga 2023.
Sementara itu, UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana bagi menyatakan pandangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.
“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.’’ – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum BN yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada PRN Melaka.
Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan dahulu bersama pucuk pimpinan parti sebelum ia disampaikan kepada Perdana Menteri.