BANGI, 11 SYAWAL – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menjadi sindiran ramai kerana dilihat ‘tidak tegas’ untuk berdepan dengan isu pencerobohan tanah dan binaan rumah anutan haram di atas tanah milik universiti itu.
Pemerhatian TV Pertiwi di pelbagai platform media sosial mendapati, kenyataan yang dikeluarkan UKM semalam telah mengundang begitu banyak kritikan kerana pendekatan yang bakal diambil pihak unviersiti terbabit iaitu membawa isu tersebut kepada perhatian Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tai Selangor (LIMAS).
Antara sindiran yang dikongsikan di media sosial termasuk gambar papan tanda “Penceroboh Akan Didakwa” disertakan logo UKM yang jelas tertera di hadapan kuil itu.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar meluahkan rasa hairan dan mempersoalkan sama ada pihak pengurusan UKM baru sedar mengenai kewujudan kuil tersebut memandangkan kenyataan daripada universiti itu disiarkan semalam.
Justeru, beliau menggesa supaya UKM tampil memberi penjelasan terutama apabila saiz kuil haram itu sangat besar.
“Selama ini tak nampak atau tak kisah? Atau ada yang memberi izin?
“Universiti perlu menjelaskannya. Kalau tiada izin tunggu apa lagi?,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau semalam.
Mengulas lanjut, Zainul berkata, sekiranya UKM ingin mengambil pendekatan berhemah, maka pihak universiti boleh memberi notis dengan memanggil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk melaksanakan perobohan.
Tambahnya, pihak kuil juga boleh mengalihkan patung dan simbol suci mereka mengikut ritual terlebih dahulu agar sensitiviti dan penghormatan dijaga.
“Tiada ganti rugi atau gantian tempat untuk penceroboh,” tegas beliau.
Isu ini turut mengundang sindiran oleh aktivis dan pejuang tanah negara, Tamim Dahri yang mempersoalkan sama ada kedudukan LIMAS lebih tinggi daripada undang-undang negara.
Persoalan itu diajukan memandangkan UKM mengambil pendekatan untuk berbincang dengan jawatankuasa itu sedangkan isu ini ibarat terang lagi bersuluh merupakan isu pencerobohan tanah.
Sementara itu, pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah pula mempertikaikan amanah yang dipegang pengurusan UKM kerana ‘membenarkan’ kuil itu dibina begitu besar secara haram tanpa dikenakan tindakan.
“UKM minta jangan buat spekulasi pasal tanahnya yang diceroboh. Selama ini kamu buta ke hingga kuil dibina begitu besar?
“Sepatutnya orang akademik lebih ‘alert’ sebab ini gedung ilmu.
“Ini berapa ratus tahun pula? Baru nak bincang dengan LIMAS. Apa kaitan? Kenal tak lagi mereka ini? Penceroboh siapa? Pihak berkuasa siapa?” soal beliau.
UKM semalam mengeluarkan kenyataan memaklumkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan sesama komuniti.
Pada masa sama universiti itu akui kewujudan kuil di atas tanah milik universiti itu dan menyatakan sesi perbincangan telah diadakan antara pihak pengurusan UKM bersama kerajaan Negeri sebelum memutuskan supaya isu ini akan dibawa kepada LIMAS.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi