Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 14 SYAABAN — Pakar Perlembagaan menyifatkan tiada keperluan bagi kerajaan melantik Menteri Hal Ehwal Bukan Islam yang sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan membenarkan pelantikan menteri dengan portfolio berkenaan.
“Tiada niat Perlembagaan untuk tujuan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam. Ini boleh dilihat dalam dokumen sejarah Perlembagaan yang tidak pernah membincangkan hal ini.
“Tiada peruntukan yang menyatakan ‘agama’ dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan menteri yang dimaksudkan.
“Agama berada pada kuasa negeri kerana perkara baki (risidual — iaitu perkara yang tidak dinyata dalam Senarai Perundangan) adalah di bawah kuasa negeri,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui agar mewujudkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) portfolio Hal Ehwal Bukan Islam.
Yu Hui berkata dua menteri agama di bawah JPM boleh membincangkan sesuatu isu secara lebih berkesan bagi mengelak sebarang kontroversi tidak diingini.
“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
“Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati dalam kalangan masyarakat bukan Muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam,” katanya.
Shamrahayu berkata Perlembagaan tidak membenarkan urusan agama bukan Islam dibuat dengan pelantikan menteri khusus.
Katanya pelantikan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam boleh menimbulkan perbezaan dalam kalangan penganut agama di Malaysia.
“Soal siapa dan agama menteri boleh menjadi punca perbalahan dalam kalangan penganut agama. Sekarang ini fungsi ini dilaksanakan oleh Menteri Perpaduan.
“Tidak mudah mengurus agama selain Islam oleh seorang menteri kerana terdapat banyak agama bukan Islam.
“Keadaan ini membuka ruang kepada ketegangan antara agama lain dan perpecahan dalam agama tersebut,” katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak pernah mengenepikan urusan penganut atau agama bukan Islam kerana terdapat kementerian dan jawatankuasa yang menjaga hak kepentingan mereka.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bertanggungjawab untuk mengurus penubuhan rumah ibadat untuk melaksanakan ritual agama mereka.
“Pada ketika ini kerjasama Menteri Perpaduan dan Menteri Hal Ehwal Agama Islam berjalan baik. Tidak perlu tambah seorang menteri lagi.
“Tiada niat Perlembagaan mempunyai agama lain sama rata dengan Islam. Tetapi Perlembagaan tidak mengabaikan kepentingan komuniti lain termasuk hak beragama.
“Amalan pentadbiran agama bukan Islam di negara ini adalah tersusun dan kerajaan sentiasa mengambil berat hal ehwal agama selain Islam,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: