BANGI, 18 MUHARRAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan, bagi membolehkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang benar-benar bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pelantikan hakim mahkamah atasan.
Menurutnya, hanya melalui peletakan jawatan itu, siasatan telus dapat dilakukan tanpa campur tangan kepentingan politik atau peribadi.
“Justeru Perdana Menteri hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan. Barulah RCI yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.
“Pelantikan hakim-hakim juga tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei 2025 yang tular, berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang hakim mahkamah atasan.
Minit berkenaan memetik mantan Ketua Hakim Negara mendedahkan isu integriti seorang hakim ketika beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara.
Antara dakwaan serius ialah usaha untuk mempengaruhi keputusan penghakiman dalam satu kes serta cubaan memindahkan seorang hakim yang tidak sehaluan dengan pihak tertentu.
Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebagai suatu dakwaan salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang serius, yang jika benar, boleh menjejaskan hak rakyat untuk mendapat keadilan secara bebas dan adil.
“Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa?,” soalnya.
Beliau turut memetik Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama pelantikan seseorang hakim.
Menurutnya, sekiranya dakwaan yang terkandung dalam minit mesyuarat JAC itu benar, maka pelantikan hakim terbabit adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang tersebut.
Katanya lagi, lebih membimbangkan apabila isu ini dikaitkan dengan dakwaan campur tangan badan eksekutif, termasuk Perdana Menteri, dalam pelantikan hakim-hakim.
“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim.
“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti,” katanya.
Muhyiddin turut memberi amaran bahawa jika integriti tidak lagi menjadi asas dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan negara ini berisiko menjadi barang dagangan.
“Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli,” tegas beliau.