BANGI, 15 RAMADAN – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat bahawa himpunan antikuil haram yang dianjurkan pihak tertentu bukan untuk mencetuskan huru-hara atau provokasi, sebaliknya bertujuan menzahirkan pandangan dan pendirian yang sah di sisi Perlembagaan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Steven Sim Chee Keong menggesa penganjur membatalkan perhimpunan antikuil haram di hadapan Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sabtu ini.
Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam itu juga meminta polis bertindak tegas terhadap demonstrasi Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram itu, serta memastikan tiada sebarang perhimpunan.
Tegasnya, tindakan mengadakan demonstrasi sedemikian hanya akan mengapi-apikan kebencian dan merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Sebaliknya, Zainul Rijal menegaskan himpunan berkenaan hanya mahu menzahirkan pandangan sahaja dan dibenarkan oleh Perlembagaan.
“Siapa nak buat huru hara? Siapa nak buat provokasi? Himpunan hanya mahu menzahirkan pandangan sahaja dan ia dibenarkan oleh Perlembagaan.
“Bela orang Islam? Kalau orang Islam dibela, orang Islam takkan sampai ke tahap ini,” tegasnya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut menekankan prinsip keadilan terhadap pemilik tanah yang haknya dinafikan oleh penceroboh, tanpa mengira agama pemilik tersebut.
“Pemilik tanah tak kiralah agama apa telah dinafikan hak oleh penceroboh, siapa yang dibela? Orang Islam hanya mahu semuanya mengikut peraturan dan undang-undang.
“Masjid dan surau pun ada dirobohkan kerana tak mengikut peraturan. Ada orang Islam play victim?,” katanya.
Polis membuka kertas siasatan terhadap hantaran berhubung perhimpunan Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang didakwa akan diadakan di hadapan Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang Sabtu ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata, siasatan itu dimulakan susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, pada Selasa lalu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi