BANGI, 25 SYAABAN – Panel Penilaian Operasi (PPO) yang menjadi antara lima mekanisme semak dan imbang terhadap perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mencadangkan kertas siasatan SPRM yang diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut) dibuka semula.
Pengerusi PPO, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, berkata pihaknya akan menilai semula setiap kertas siasatan yang tidak dibawa ke mahkamah untuk mencari kelemahan yang boleh diperbaiki supaya satu ketetapan diambil semula oleh SPRM atau kekal berstatus NFA.
Katanya, setiap kertas siasatan yang diklasifikasikan NFA akan dikenal pasti untuk dicadangkan penambahbaikan supaya pegawai penyiasat SPRM membuka semula kes berkenaan.
“Penilaian itu akan dilaksanakan dari pelbagai sudut khususnya dalam mengesan sebarang kelemahan yang wujud dalam siasatan itu sendiri yang perlu diperbaiki. Jika perkara itu wujud, PPO akan memberi nasihat untuk kertas siasatan itu dibaiki.
“Dalam kebanyakan keadaan, ia juga adalah berkaitan kes berprofil tinggi yang menarik perhatian masyarakat dan orang ramai,” katanya kepada wartawan di Genting Highlands, semalam.
Ahmad Rosli berkata, jika terdapat kes NFA akibat kekurangan bukti, PPO akan berusaha untuk mencadangkan agar siasatan selanjutnya dilakukan mengikut perspektif yang berlainan.
Menurutnya, memang ada kes tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bukti untuk membuktikan kesalahan atau isu perundangan yang tidak memihak kepada pendakwaan menyebabkan kes itu mungkin ada keperluan untuk kekal sebagai NFA.
“Namun, jika terdapat isu yang jika disiasat lanjut boleh diperbaiki seperti adanya elemen pecah amanah jenayah, PPO akan meminta pihak pendakwaan meneliti semula perkara itu kerana dalam siasatan kami, bukti itu ada,” katanya.
Mengulas sama ada SPRM menerima setiap teguran dan cadangan oleh PPO, katanya agensi itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersikap terbuka, termasuk kembali membuka kertas siasatan.
“SPRM menunjukkan sikap terbuka terhadap teguran dan pandangan yang diberikan oleh PPO. Mereka tidak defensif, sebaliknya mengambil kira setiap teguran yang diberikan oleh PPO,” katanya.
Selain itu, katanya PPO mengemukakan beberapa cadangan seperti meningkatkan keupayaan dan kepakaran pegawai penyiasat, teruatama yang membabitkan kes transaksi korporat dan kewangan yang kompleks seperti penjejakan aliran wang.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi