Oleh: Balqis Idris
BANGI, 11 ZULKAEDAH — Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi gabungan itu kepada Pakatan Harapan (PH) secara ‘percuma’.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sekiranya DAP mahukan kerusi yang dimiliki BN di Melaka, maka mereka perlu bertanding di tempat sama.
“Dulu, rundingan kerusi semasa PRN enam negeri, kamu (DAP) cukup susah nak berikan kerusi kamu kepada BN ketika itu, kali ini senang-senang sahaja nak kerusi yang kami dah menang.
“Maka kerusi yang BN menang tidak akan sama sekali untuk diberikan kepada PH,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengulas terjemahan tajuk dalam bahasa CIna yang menyatakan “Sembilan Cabang DAP negeri Melaka telah meluluskan resolusi strategi 14BN + 14PH bagi menghadapi PRN Melaka akan datang.
Mengulas lanjut, Akmal turut berkongsikan pecahan kerusi di DUN Melaka yang mana BN memperoleh 21 kerusi, diikuti PH sebanyak 5 kerusi manakala Perikatan Nasilan mempunyai dua kerusi.
“Untuk beri kamu, tidak sama sekali dan boleh teruskan bermimpi,” tambah Akmal.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi