TEBING BARAT, 3 REJAB – Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berikrar bahawa rejim Zionis akan terus kekal di Gaza dan berjanji untuk menubuhkan pos-pos penempatan di utara wilayah Palestin itu.
Rakaman video ucapan beliau yang disiarkan secara meluas media Israel, semalam, dibuat ketika gencatan senjata di Gaza berada dalam keadaan rapuh.
Negara pengantara kini menekan pelaksanaan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pengunduran tentera Israel dari wilayah tersebut.
Berucap pada satu majlis di penempatan haram Israel, Beit El, di Tebing Barat yang diduduki, Katz berkata: “Kami berada jauh di dalam Gaza, dan kami tidak akan pernah meninggalkan Gaza, perkara itu tidak akan berlaku.”
“Kami berada di sana (Gaza) untuk melindungi, bagi menghalang apa yang telah berlaku (daripada berulang),” katanya seperti dipetik dalam video yang diterbitkan portal berita Israel, Ynet.
Katz turut berikrar untuk menubuhkan pos-pos penempatan di utara Gaza bagi menggantikan penempatan haram yang dikosongkan semasa pengunduran Israel dari wilayah itu pada 2005.
“Apabila tiba masanya, kami akan menubuhkan pos-pos Nahal di utara Gaza bagi menggantikan masyarakat Yahudi yang telah dipindahkan,” katanya merujuk kepada penempatan haram bercirikan ketenteraan-pertanian yang didirikan oleh tentera Israel.
“Kami akan melaksanakannya dengan cara yang betul dan pada masa yang sesuai,” katanya.
Seruan untuk menduduki semula wilayah Palestin
Kenyataan Katz dikecam bekas menteri dan bekas Ketua Turus Angkatan Pertahanan Israel, Gadi Eisenkot, yang menuduh kerajaan bertindak “bertentangan dengan permuafakatan nasional yang luas, ketika tempoh kritikal keselamatan negara Israel.”
“Ketika kerajaan mengundi dengan satu tangan menyokong pelan Trump, tangan yang lain menjual dongeng mengenai penempatan terpencil (di Semenanjung Gaza),” tulis Eisenkot di platform X, merujuk kepada pelan damai Gaza yang dirundingkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Fasa seterusnya pelan Trump melibatkan pengunduran Israel dari Gaza, penubuhan pihak berkuasa sementara untuk mentadbir wilayah itu menggantikan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa.
Minggu lalu, beberapa warga Israel memasuki Gaza dengan mengingkari arahan tentera dan mengadakan upacara simbolik menaikkan bendera sebagai seruan kepada pendudukan semula dan penempatan kembali wilayah Palestin itu.
Sekurang-kurangnya 411 rakyat Palestin terbunuh dan 1,112 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Dalam satu kenyataan, pejabat itu memaklumkan pihaknya merekodkan 875 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk 265 insiden tembakan langsung ke arah orang awam, 49 pencerobohan tentera ke kawasan perumahan, 421 insiden bedilan, serta 150 kejadian perobohan rumah. – TRT World
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi