Oleh: Balqis Idris
BANGI, 9 SYAWAL —
Kerajaan diseru mengambil tindakan tegas dalam menangani isu melibatkan serangan kejam zionis Israel terhadap Palestin.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, kerajaan perlu mengambil langkah strategik dalam membina hubungan diplomatik dengan negara Islam khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Asmadi turut mengecam serangan oleh rejim Israel yang bukan sahaja menyerang kem pelarian dan penempatan rakyat Palestin yang terdiri dari kaum wanita serta kanak-kanak, malah menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang begitu dahsyat.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini adalah bukti nyata bahawa Israel terus-menerus melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin secara sistematik.
“Ini telah disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam perbicaraan kes Afrika Selatan lawan Israel,” katanya dalam kenyataan semalam.
Justeru, beliau menyeru agar umat Islam bangkit dan bersatu melawan melalui solidariti terhadap isu keganasan di Palestin.
“Marilah kita bersatu agar dapat menangkis penjajahan rejim Zionis Israel yang telah sekian lama ini sehingga rakyat Palestin hidup menderita.
“Kita sebagai umat Islam tidak boleh membiarkan mereka berjuang sendirian sebagaimana yang kita lihat di kaca-kaca televisyen dan dada-dada akhbar, anak-anak kecil sangat berani mempertahankan tanah air mereka demi kesucian bumi barakah, iaitu Baitulmaqdis.
“Walau sebesar zarah tindakan kita, ia akan memberi impak besar kepada perjuangan mereka. Marilah kita terus mendoakan keselamatan, kemenangan dan kesejahteraan umat Islam Palestin, serta keselamatan bagi semua umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi