DAP kini kuasai urusan bandar negara 

BANGI, 25 JAMADILAKHIR – Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Wilayah Persekutuan dalam rombakan Kabinet hari ini, menandakan satu peralihan penting dalam landskap kuasa pentadbiran negara. 

Buat kali pertama kali dalam tempoh hampir 50 tahun, portfolio Wilayah Persekutuan yang menguruskan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dikendalikan oleh pemimpin kaum Cina dan dari DAP.

Lebih ketara, timbalan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan juga kaum Cina, iaitu Ahli Parlimen Tawau dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Lo Sui Fui, sekali gus menjadikan urusan wilayah teras negara berada sepenuhnya di bawah kepimpinan parti bukan Melayu.

Pada masa sama, DAP melalui Timbalan Pengerusi parti itu, Nga Kor Ming, menguasai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kementerian yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan, perancangan bandar, perumahan awam, lesen perniagaan, pengurusan sisa, pembangunan strata dan pelbagai aspek kehidupan bandar.

Gabungan dua portfolio ini bermakna DAP kini menguasai hampir keseluruhan ekosistem perbandaran negara, daripada dasar nasional hingga pelaksanaan di peringkat bandar.

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, kesannya lebih ketara. Kuala Lumpur bukan sahaja bandar raya terbesar negara, tetapi pusat ekonomi, pentadbiran dan simbol kuasa Persekutuan.

Apabila hal ehwal Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah Hannah dan pada masa sama, KPKT berada di bawah Kor Ming, rantaian kuasa antara pembuat dasar dan pelaksana menjadi lebih rapat, dengan DAP berada di kedua-dua hujungnya.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai 11 Kawasan Parlimen dengan DAP menguasai lima kawasan, termasuk Hannah yang mewakili Parlimen Segambut. Enam kawasan Parlimen lain dikuasai parti dalam kerajaan Madani, iaitu PKR dan Barisan Nasional.

Dari sudut politik, ini memberi DAP kelebihan strategik yang besar. Parti itu kini bukan sahaja dominan dari segi sokongan pengundi bandar, tetapi mempunyai kawalan terhadap jentera pentadbiran bandar. 

Ini membolehkan DAP membina rekod tadbir urus secara langsung dalam isu perumahan mampu milik, pengurusan bandar, kebersihan, penguatkuasaan dan kualiti hidup yang boleh dijadikan modal politik dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Namun kelebihan ini datang bersama risiko yang sepadan. Apabila urusan perbandaran tertumpu di bawah satu parti, ruang untuk mengalihkan kesalahan kepada birokrasi atau kerajaan negeri menjadi semakin sempit.

Isu seperti kenaikan sewa, masalah penjaja, banjir kilat, kesesakan, projek pembangunan dan konflik dengan penduduk bandar akan terus dipersepsikan sebagai kegagalan politik DAP, bukan sekadar masalah teknikal.

Dari sudut persepsi kaum pula, gabungan penguasaan Wilayah Persekutuan dan KPKT mudah dirumuskan sebagai bukti bahawa DAP kini memegang pengaruh besar dalam struktur kuasa negara, terutama di kawasan bandar.

Walaupun realiti bandar bersifat majmuk, naratif ini berpotensi mengukuhkan dakwaan bahawa kerajaan hari ini semakin condong kepada satu parti dan satu demografi.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelantikan ini menunjukkan kebergantungan tinggi kepada DAP sebagai tonggak kestabilan kerajaan.

Namun, ia juga menambah cabaran politik beliau dalam usaha menenangkan kebimbangan sebahagian pengundi Melayu yang melihat penguasaan perbandaran sebagai penentu arah sosial, ekonomi dan budaya negara.

Secara keseluruhan, pelantikan Hannah tidak boleh dibaca hanya sebagai soal individu atau kepakaran. Ia mencerminkan penyusunan semula kuasa perbandaran, dengan DAP kini berada dalam kedudukan untuk membentuk wajah bandar Malaysia secara menyeluruh. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rombakan Kabinet: Zaliha, Na’im digugur manakala Fadhlina kekal

Next Post

Pengiktirafan UEC bakal cetus krisis lebih besar

Related Posts