BANGI, 25 JAMADILAKHIR – Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) digugurkan iaitu Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar (Hal Ehwal Agama).
Zaliha digantikan dengan Hannah Yeoh yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan manakala Na’im diganti dengan timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.
Jawatan Menteri Belia dan Sukan kini dipegang oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammad Taufiq Johari manakala timbalannya ialah Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya – sebelum ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan – kini memegang portfolio Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Fadhlina Sidek yang sebelum ini didesak ramai supaya meletakkan jawatan Menteri Pendidikan, masih kekal dengan jawatan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik menerajui Kementerian Ekonomi menggantikan tempat Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan pada Jun lalu.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kini menjawat jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala jawatan lamannya iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi kini dipegang oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Datuk Seri R Ramanan yang sebelum ini memegang portfolio Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kini dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.
Beliau menggantikan Steven Sim yang kini dilantik sebagai Menteri Pembangunan usahawan dan Koperasi.
Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong diumum sebagai Timbalan Menteri Kewangan baharu.
Bagi pengumuman lain, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah Sarawak); Marhamah Rosli dilantik Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) manakala Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilantik Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi