BANGI, 13 JAMADILAKHIR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas empat pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM176,829 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Albert, 37, didakwa memberi rasuah kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai dorongan melakukan perbuatan berkaitan hal ehwal prinsipalnya selaku Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Mengikut pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah RM100,000 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Tertuduh didakwa melakukan melakukan perbuatan itu pada 24 November 2023 di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberi suapan kelengkapan perabot dan barangan elektrik kepada Shamsul Iskandar berjumlah RM14,580 atas tujuan sama di antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Pertuduhan ketiga, Albert turut didakwa memberi suapan berjumlah RM40,000 kepada Shamsul Iskandar selaku ejen Kerajaan Malaysia bagi membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Januari 2024 di premis sama.
Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memberi suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 untuk tujuan serupa di antara 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024 di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya.
Albert didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan Albert diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin warga negara serta tiga syarat tambahan, manakala tarikh sebutan pada 8 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi