Kes rasuah: 2 ADUN, 1 ahli perniagaan di Sabah didakwa

BANGI, 4 MUHARRAM — Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, atas tuduhan berkaitan rasuah berhubung permohonan lesen cari gali mineral.

Mereka ialah ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, 44, dan ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob, 69. Ahli perniagaan pula ialah Chieng Albert Tei Jiann, 37 yang juga dikenali sebagai Albert Tei.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan didakwa menerima suapan RM150,000 daripada Albert Tei, sebagai dorongan untuk membantu dalam pemprosesan permohonan Lesen Melombong oleh Sinaran Hayat Sdn Bhd di Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11 malam, 12 Mei 2023 di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan.

Dr Yusof dituduh menerima RM200,000 daripada Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu dalam pemprosesan permohonan Lesen Melombong oleh Nusa Kini Sdn Bhd bagi menerokai mineral di Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 petang pada 6 Mac 2023 di Rooftop Bar & Grill @ Hilton Kota Kinabalu.

Andi dan Dr Yusof masing-masing didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara  itu Albert Tei didakwa memberikan suapan kepada kedua-dua ADUN berkenaan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.

Andi dan Dr Yusof masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang, dengan RM10,000 perlu didepositkan ke mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Sementara itu Tei dibebaskan dengan jaminan RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan RM15,000 perlu didepositkan bersama penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri setiap dua bulan ke pejabat SPRM, dengan pasport masing-masing diserahkan kepada mahkamah.

Hakim juga mengingatkan mereka tidak mengganggu saksi pihak pendakwaan sementara menunggu kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee dan Rustam Sanip serta Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh.

Dua ADUN berkenaan diwakili oleh Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Datin Jaharah Patimbangi. Albert Tei diwakili Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gencatan senjata hanya tipu helah AS, Gaza sedang dilenyapkan

Next Post

Penswastaan Hospital tindas golongan marhaen – PERKASA

Related Posts