BANGI, 19 JAMADILAWAL – Tindakan perundangan kerajaan Kedah berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang, kini memasuki fasa akhir, iaitu memuktamadkan pelantikan pasukan guaman.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus, termasuk perkara berkaitan pajakan.
“Pada masa ini, kerajaan negeri pada peringkat memuktamadkan pelantikan peguam bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.
“Insya-Allah perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sebelum ini melantik pasukan penyelidik yang dianggotai pakar sejarah dan perundangan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara berkenaan.
Katanya, ini termasuk melaksanakan analisis mendalam, penyediaan dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.
“Pasukan berkenaan telah menyiapkan kajian dan laporan akhir mereka telah dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen yang berkaitan pada 15 April lalu,” katanya.
Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri turut menzahirkan penghargaan atas perhatian yang diberikan oleh Tuanku Sultan terhadap isu itu dan memastikan setiap langkah diambil berpaksikan fakta sejarah serta landasan perundangan yang sah.
Pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, nilai berkenaan adalah sesuai dan munasabah berbanding bayaran royalti yang diterima negeri itu sebanyak RM10,000 setahun sejak tahun 1786 serta bayaran khas RM10 juta yang dibuat Putrajaya sejak 2018.
Bahkan, menurut beliau, tuntutan bayaran RM100 juta setahun itu disifatkan sebagai satu nilai yang kecil bagi pihak kerajaan Persekutuan berbanding pendapatan yang dijana negeri Pulau Pinang.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi