BANGI, 19 JAMADILAWAL – Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad menegaskan bahawa peperiksaan seperti Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah punca murid menjadi ‘kakaktua’.
Katanya, masalah sebenar ialah soalan pada aras rendah dan budaya hafal jawapan.
Beliau mempersoalkan mengapa, di penghujung alam persekolahan, murid masih dinilai melalui peperiksaan.
“Penilaian PISA (Programme for International Student Assessment) yang diuruskan oleh OECD juga menggunakan format peperiksaan. Murid perlu menjawab soalan di atas kertas peperiksaan PISA’. katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, yang mendakwa pengembalian semula peperiksaan utama akan melahirkan generasi ‘burung kakaktua’.
Dr Anuar menegaskan bahawa peperiksaan tidak boleh dipersalahkan. Yang sebenarnya menghasilkan murid ‘kakaktua’ ialah soalan peperiksaan pada aras rendah, yang hanya memerlukan murid menghafal jawapan, serta budaya masyarakat memahami amalan peperiksaan — contohnya latih tubi berlebihan, menghafal skema jawapan dan soalan ramalan.
Beliau berkata, jika soalan peperiksaan direka pada aras tinggi, yang memerlukan murid menganalisis, menilai, menyelesaikan masalah dan mencipta idea baharu, peperiksaan tidak akan menghasilkan ‘kakaktua’.
Selain itu, budaya bertanding antara sekolah, daerah dan negeri turut menyumbang kepada salah faham bahawa peperiksaan melahirkan murid ‘kakaktua’. Selagi budaya itu kekal, PBD juga berisiko mengalami nasib yang sama.
“Peperiksaan bukan alat untuk menentukan sekolah paling hebat. Kita perlu membetulkan budaya ini dan meningkatkan kualiti soalan supaya murid bukan sekadar menghafal, tetapi mampu berfikir,” katanya.
Beliau turut menegaskan contoh antarabangsa: PSLE di Singapura masih kekal dilaksanakan dan ditambah baik pada 2024. Malah peperiksaan antarabangsa seperti IGCSE dan A-Level juga masih diamalkan tanpa melahirkan murid ‘kakaktua’.
Di peringkat universiti, termasuk universiti terkemuka luar negara, peperiksaan masih dikekalkan. Pelajar menulis jawapan dengan tangan sendiri berdasarkan kefahaman mereka.
“ChatGPT pun tidak boleh bantu. Adakah universiti hebat yang mengamalkan peperiksaan melahirkan ‘kakaktua’? Tentunya tidak,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi