Pertahan bahasa kebangsaan bukan taksub, sebaliknya penyatu rakyat

Sebagai rakyat yang cintakan bahasa, agama dan tanah air, saya agak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa terdapat negara yang hancur kerana kepimpinan yang terlalu taksub dengan masalah bahasanya sehingga mengenepikan bahasa yang lain. Pandangan sebegini boleh menimbulkan salah faham terhadap kedudukan Bahasa Kebangsaan, yang sepatutnya menjadi asas perpaduan negara.

Mempertahankan Bahasa Melayu bukan sikap taksub, tetapi tanggungjawab yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa ini bukan sekadar simbol, ia adalah tunjang kepada pembentukan bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Bahasa Melayu adalah penyatu, bukan pemecah. Sejak merdeka, ia menyatukan rakyat berbilang kaum dalam kerangka identiti bersama. Mengaitkan usaha mempertahankan bahasa dengan kehancuran negara hanya merencatkan semangat kebangsaan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap identiti nasional.

Apa yang benar-benar boleh memecah belah rakyat ialah kelemahan kepimpinan dan kehilangan rasa hormat terhadap asas negara. Namun, mempertahankan Bahasa Kebangsaan bukan penyebab kepada krisis. Sebaliknya, ia adalah benteng terakhir yang melindungi kita sebagai satu bangsa dan tanah air.

Sebagai contoh, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pernah menegaskan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1970 dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus kembali didaulatkan. Menurut beliau, bahasa ini adalah identiti bangsa dan lambang kedaulatan negara. Jika Bahasa Melayu dipinggirkan atas alasan meraikan kepelbagaian, ia hanya akan menghakis jati diri nasional dan membuka ruang kepada krisis identiti yang lebih parah.

Kita boleh mengiktiraf dan meraikan bahasa ibunda kaum lain, namun Bahasa Melayu mesti kekal sebagai teras dalam pendidikan, pentadbiran dan kehidupan bernegara. Inilah wajah sebenar kekayaan budaya negara kita, keterlibatan dalam pelbagai bahasa tanpa menjejaskan peranan utama bahasa kebangsaan.

Kini, cabaran mempertahankan Bahasa Melayu semakin mencabar. Apabila ada suara cuba menaikkan bahasa lain sebagai bahasa pengantar utama dalam pendidikan atau pentadbiran, ia menghakis martabat Bahasa Kebangsaan dan meruntuhkan semangat patriotisme yang diformulasikan sejak kemerdekaan.

Malaysia tidak akan hancur kerana mempertahankan Bahasa Kebangsaan. Sebaliknya, negara akan tergugat jika kita gagal melindunginya. Ancaman sebenar datang daripada pengabaian nilai-nilai Perlembagaan, identiti dan jati diri.

Mempertahankan Bahasa Melayu bukan sikap ekstrem atau taksub. Ia adalah lambang kedaulatan negara. Ini bukan pilihan; ia amanah yang menentukan sama ada Malaysia kekal teguh, berdaulat dan utuh untuk generasi akan datang.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

20 individu hilang selepas bantahan berdarah di Indonesia

Next Post

UEC di Selangor diiktiraf sejak 2015: Siapa harus dipersalahkan?

Related Posts