UEC di Selangor diiktiraf sejak 2015: Siapa harus dipersalahkan?

Pertemuan antara Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, mencetuskan perbincangan hangat berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di negeri ini.

Pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar itu diatur oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ng Sze Han. Dalam sesi dialog selama satu jam, Dong Zong memuji keterbukaan kerajaan negeri, termasuk keputusan memberikan tanah baharu kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa di Klang serta peruntukan pendidikan tahunan yang diagihkan secara sistematik kepada sekolah pelbagai aliran.

Dong Zong turut memohon pengecualian cukai tanah bagi sebuah bangunan pendidikan di Kajang, yang dijanjikan Amirudin akan dipertimbangkan. Selain itu, Amirudin mengumumkan bahawa lepasan UEC kini dibenarkan melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) serta diterima bekerja di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Kritikan terhadap pengiktirafan UEC

Langkah kerajaan negeri itu kemudiannya mengundang kecaman. Rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa tidak puas hati dan menganggap pengiktirafan UEC sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Selepas isu itu mendapat perhatian umum, Pejabat Menteri Besar Selangor tampil menjelaskan bahawa pemberian tanah kepada sekolah bukanlah perkara baharu dan tidak terhad kepada sekolah Cina sahaja. Antara yang pernah menerima bantuan sama termasuk Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands.

Pejabat MB turut menegaskan bahawa pengiktirafan UEC bukan keputusan baharu, sebaliknya kesinambungan dasar yang telah dimulakan pada 2015. Bantuan pendidikan kepada sekolah-sekolah di Selangor juga telah dimulakan sejak 2009, meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah kebangsaan serta menengah, bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan yang lebih selesa.

Siapa Menteri Besar ketika UEC mula diiktiraf?

Pengiktirafan UEC di Selangor bermula ketika negeri dipimpin oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 2015.

Pada 30 Oktober 2015, ketika membentangkan Bajet Selangor 2016, Azmin mengumumkan bahawa UNISEL akan menerima lepasan UEC untuk melanjutkan pengajian bermula tahun berikutnya. Tujuannya, menurut Azmin, adalah bagi menghargai sumbangan sekolah persendirian Cina kepada pembangunan modal insan negeri serta mengelakkan masalah brain drain (pemergian bakat keluar negara).

Mengapa UEC mendapat bantahan?

Secara jelasnya, UEC bercanggah dengan prinsip asas pendidikan kebangsaan dan boleh menjejaskan perpaduan rakyat. Antara faktor utama:

1) Tidak mewajibkan lulus Bahasa Melayu, hakikatnya bahasa kebangsaan adalah asas sistem pendidikan negara dan kunci komunikasi rasmi.

2) Menggunakan silibus luar negara (Taiwan), ia tidak menggunakan Kurikulum Standard Malaysia, mewujudkan jurang dengan sistem pendidikan kebangsaan.

3) Mewujudkan aliran pendidikan berasingan, bermakna pelajar UEC terpisah daripada aliran kebangsaan dan sekali gus melemahkan integrasi kaum.

4) Menyaingi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang sepatutnya menjadi peperiksaan standard tunggal untuk semua rakyat Malaysia.

Kesannya, UEC dilihat menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu, melemahkan sistem pendidikan kebangsaan dan berpotensi membawa kepada pemisahan kaum dalam kalangan pelajar.

Pengiktirafan UEC di Selangor bermula sejak pentadbiran Azmin Ali pada 2015, dan kini dasar itu diteruskan oleh Amirudin Shari dengan tambahan keistimewaan baharu.

Persoalan besar yang wajar difikirkan rakyat ialah: adakah langkah Selangor ini akan menjadi contoh yang menormalisasikan UEC di negeri-negeri lain?

Jika dibiarkan, ia berpotensi membawa kesan besar kepada perpaduan nasional, kedudukan Bahasa Melayu dan hala tuju sistem pendidikan negara.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pertahan bahasa kebangsaan bukan taksub, sebaliknya penyatu rakyat

Next Post

Bahasa Melayu terus terpinggir di sektor swasta

Related Posts