20 individu hilang selepas bantahan berdarah di Indonesia

BANGI, 13 RABIULAWAL – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh sejak bantahan melanda ekonomi terbesar Asia Tenggara minggu lalu, yang semakin tegang selepas tersebar rakaman kematian penunggang motosikal p-hailing, Affan Kurniawan.

Kekacauan tercetus di bandar-bandar seluruh Indonesia, memaksa Presiden Prabowo Subianto membuat pusingan-U berhubung faedah ahli Parlimen selepas bantahan terburuk sejak bekas jeneral itu mengambil alih kuasa tahun lalu.

Suruhanjaya Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS) berkata, pihaknya menerima 23 laporan orang hilang setakat Isnin lalu.

“Selepas proses pencarian dan mengenal pasti, 20 individu yang dilaporkan hilang masih belum ditemui,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Menurut Kontras, kes kehilangan itu dilaporkan berlaku di bandar Bandung dan Depok di Pulau Jawa, serta di wilayah Jakarta Pusat, Jakarta Timur dan Jakarta Utara yang membentuk kawasan ibu kota lebih luas.

Satu laporan pula melibatkan “lokasi tidak diketahui”.

Menurut agensi berita kerajaan ANTARA, polis sebelum ini berkata, seramai 1,240 orang ditahan di Jakarta sejak 25 Ogos lalu. 

Jurucakap Polis Jakarta, Ade Ary Syam Indradi, berkata pihaknya menahan aktivis Delpedro Marhaen, pengarah Yayasan Lokataru. NGO itu mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau ditahan “atas tuduhan membuat hasutan provokatif untuk melakukan tindakan anarki”, kata Ade dalam kenyataan yang disiarkan Kompas TV.

Ade turut berkata, polis di Jakarta mengenal pasti 38 lagi individu sebagai suspek kerana didakwa terlibat dalam “aktiviti anarki”, termasuk membaling bom molotov ke arah pegawai dan membakar sebuah hentian bas.

Lebih banyak bantahan dijangka berlaku di hadapan Parlimen di Jakarta, semalam, namun orang ramai tidak muncul selepas kehadiran tentera di ibu kota menyebabkan himpunan semakin berkurangan.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau berlebihan ketika menangani bantahan.

Tentera dikerahkan di seluruh Jakarta pada Isnin  lalu ketika ratusan orang kembali berhimpun di luar Parlimen dan pertembungan turut dilaporkan di beberapa bandar lain.

Prabowo mengkritik penunjuk perasaan ketika melawat anggota polis yang cedera di hospital dan berkata bantahan perlu dihentikan menjelang senja.

Di Bandung, penunjuk perasaan membaling bom Molotov ke arah bangunan majlis perundangan negeri sebelum polis melepaskan gas pemedih mata pada waktu malam terhadap “suspek anarkis” yang menghalang jalan raya.

Pegawai polis turut bertempur dengan penunjuk perasaan yang didakwa cuba menarik mereka masuk ke kampus Universiti Islam Bandung untuk “mencetuskan konflik”, kata jurucakap Polis Jawa Barat, Hendra Rochman, dalam kenyataan semalam.

Beberapa pengguna media sosial menuduh polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke dalam kampus serta menyerbunya.

“Pegawai mengekalkan jarak kira-kira 200 meter dari kampus dan tiada tembakan dilepaskan ke arah kampus,” kata Hendra.

Pihak universiti menafikan pelajarnya mencetuskan kekacauan.

Beribu lagi berhimpun di Palembang, Sumatera, manakala ratusan orang berkumpul di Banjarmasin, Kalimantan, Yogyakarta di Jawa, dan Makassar di Sulawesi. – AFP

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

URA: Anwar, Kor Ming tak faham hak harta dalam sivil atau Islam – Isham

Next Post

Pertahan bahasa kebangsaan bukan taksub, sebaliknya penyatu rakyat

Related Posts