BANGI, Isnin – Pelantikan hingga tiga orang Timbalan Perdana Menteri (TPM) dianggap satu pembaziran dan memakan kos yang tinggi.
Penganalisis Politik, Dr Mazlan Ali berkata Malaysia tidak memerlukan jawatan tiga TPM seperti yang dicadangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, cadangan itu mengesyorkan jawatan TPM mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung sekiranya parti itu menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun dilihat tidak bersesuaian.
Bagaimanapun cadangan yang diutarakan itu dianggap sebagai janji manis kepada rakyat dalam menghadapi PRU15.
“Timbalan Perdana Menteri ini tidak ada dalam perlembagaan, jadi jawatan ini tidak ada pun tak apa, yang penting Perdana Menteri itu ada wawasan. Sebenarnya tidak perlu sampai tiga TPM, kalau hendak beri la Sabah-Sarawak satu wakil. Sekiranya negeri Borneo ada setiap satu TPM ia akan menimbulkan tanda tanya kenapa negeri Sabah kena ada satu TPM, dan Sarawak juga satu TPM. Nanti rakyat akan mempersoalkan. Janji (manifesto) itu kena munasabah, jika sampai tiga TPM sudah seperti janji manis sahaja” – Dr Mazlan Ali / Penganalisis politik.
Beliau ketika dihubungi berkata, jawatan tiga TPM memakan kos yang tinggi sekiranya diwujudkan dari segi rumah rasmi, polis pengiring dan pegawai yang mentadbir serta elaun yang perlu dibayar.
Dalam pada itu, Dr Mazlan berkata jika jawatan TPM ingin dilantik cukup sekadar dua orang yang berperanan membantu Perdana Menteri dan hendaklah dibezakan dengan tugas-tugas Ketua Menteri.
Bagaimanapun katanya, pelantikan kabinet dan menteri kanan sebelum ini terlalu ramai sehingga tidak nampak fungsi sebahagian menteri yang telah dilantik.
Menurut Dr Mazlan, cadangan yang diberikan Zahid perlu mempunyai kajian terlebih dahulu kerana dilihat seperti gula-gula politik dan akan menerima akibat sekiranya manifesto itu tidak dapat ditunaikan.
https://youtu.be/OG0bwsvMiYw