Afghanistan dilanda gempa magnitud 6: Lebih 800 terkorban, bantuan segera diperlukan

KABUL, 12 RABIULAWAL – Sekurang-kurangnya 812 orang terkorban manakala lebih 2,800 cedera dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda timur Afghanistan lewat malam Ahad.

Gempa bumi berukuran magnitud 6 itu berlaku sekitar tengah malam waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer, menggegarkan wilayah pergunungan Kunar dan Nangarhar yang terletak bersempadan dengan Pakistan.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid memaklumkan, 610 kematian dilaporkan di Kunar, manakala 12 lagi terkorban di Nangarhar. 

Angka korban dijangka meningkat memandangkan pasukan penyelamat masih berusaha memasuki kawasan pedalaman yang terputus hubungan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Afghanistan, Sharafat Zaman, merayu bantuan antarabangsa bagi membantu ribuan penduduk yang terjejas.

“Kami memerlukan bantuan kerana ramai kehilangan nyawa dan tempat tinggal,” katanya kepada Reuters.

Penduduk tempatan melaporkan gegaran yang sangat kuat, menyebabkan rumah-rumah batu bata lumpur runtuh serta mencetuskan suasana panik. 

Seorang pelajar, Ziaul Haq Mohammadi, berkata dia tidak dapat berdiri sewaktu gegaran berlaku.

“Kami berjaga sepanjang malam dalam ketakutan kerana bimbang gempa susulan akan berlaku,” katanya.

Usaha mencari dan menyelamat terganggu akibat hujan lebat sejak dua hari lalu yang menyebabkan risiko tanah runtuh serta beberapa laluan utama tidak dapat dilalui.

Pegawai dari Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), Kate Carey, berkata, pasukan penyelamat juga sedang berusaha segera menyingkirkan bangkai haiwan ternakan bagi mengelakkan pencemaran sumber air.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiga buah kampung di Kunar musnah sepenuhnya, manakala banyak lagi mengalami kerosakan besar.

Pasukan tentera dan perubatan dikerahkan ke lokasi, dengan 40 penerbangan dilaporkan mengangkut 420 mangsa, termasuk yang cedera dan terkorban.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Abdul Maten Qanee berkata, semua agensi kerajaan telah digerakkan untuk menyegerakan bantuan merangkumi keselamatan, perubatan dan keperluan asas lain.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

SARA: 1.7 juta rakyat berbelanja RM110 juta dalam dua hari

Next Post

“Negara mana hancur sebab utamakan bahasa kebangsaan?” – Nasionalis soal PMX

Related Posts