Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 14 Rejab — Presiden Amerika Syarikat (AS) membayangkan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung di Doha, Qatar mampu menamatkan serangan di Gaza.
Joe Biden berkata jika rundingan gencatan senjata itu berjaya dimuktamadkan maka lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat memasuki Gaza, lapor Reuters.
“Perjanjian itu akan membebaskan tahanan, menghentikan serangan dan membolehkan kami meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang menderita teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semalam mengulas pencapaiannya dalam dasar antarabangsa sepanjang menjadi Presiden AS.
Wakil rundingan gencatan senjata akan bertemu sekali lagi hari ini di Doha bagi memuktamadkan butiran rancangan menamatkan serangan di Gaza.
Mereka sudah menghantar draf akhir perjanjian itu kepada Israel dan Hamas semalam selepas perbincangan yang dihadiri wakil pemimpin kanan AS menemui kata sepakat.
Sementara itu, penasihat keselamatan Biden, Jake Sullivan turut menggambarkan perkembangan positif dalam rundingan gencatan senjata.
“Saya fikir ia peluang yang baik untuk memuktamadkan rundingan. Pihak-pihak yang berunding sudah mencapai kata sepakat untuk menutup perjanjian ini,” katanya.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula mendakwa segala keputusan kini terletak di tangan Hamas selepas kumpulan pejuang itu positif terhadap rundingan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/