BANGI, 12 RABIULAWAL – Transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM110 juta dalam tempoh dua hari pelaksanaan sejak 31 Ogos lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa hingga 9.30 malam kelmarin, lebih 900,000 rakyat menyempurnakan perbelanjaan berjumlah RM60 juta di seluruh negara.
“Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima berjaya berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara,” menurut kenyataan MOF, malam tadi.
MOF berkata, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan MyKasih susulan ledakan transaksi semalam membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses pada hari kedua.
Bagaimanapun, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan di beberapa lokasi, termasuk pasar raya besar di bandar ketika waktu puncak antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang.
Bagi menguruskan situasi ini, MOF menyatakan bahawa petugas MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MOF menasihat orang ramai supaya merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti waktu pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan sekali gus melancarkan urusan pembelian.
Kredit RM100 Penghargaan SARA yang disalurkan ke dalam MyKad penerima kekal sah hingga 31 Dis tahun ini dan boleh digunakan pada lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi