Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 RAMADAN — Pasukan pejuang Hamas mengecam keputusan Israel memutuskan bekalan elektrik di Gaza sebagai bantahan tiada perkembangan proses rundingan gencatan senjata.
Anggota Biro Politiknya, Izzat Al-Rishq berkata pendekatan Israel itu satu ugutan murahan selepas pelbagai sekatan dikenakan kepada penduduk Gaza, lapor AFP.
“Kami mengutuk keras keputusan Israel untuk memutuskan bekalan elektrik di Gaza selepas menyekat makanan, ubat-ubatan dan air.
“Mereka tidak berputus asa untuk menekan rakyat Gaza dan taktik mereka melalui ugutan murahan ini tidak dapat diterima,” katanya.
Israel semalam mengumumkan pemotongan bekalan elektrik di Gaza selepas bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu disekat.
Pemotongan bekalan elektrik itu susulan tekanan Israel yang mahu Hamas bersetuju dengan pelanjutan fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Sementara itu, Israel akan menghantar delegasi ke Qatar hari ini bagi melanjutkan rundingan fasa dua gencatan senjata.
Hamas minggu lalu mengadakan pertemuan dengan wakil Amerika Syarikat (AS) Adam Boehler di Kaherah, Mesir bagi menetapkan butiran fasa dua gencatan senjata.
Boehler membayangkan rundingan gencatan senjata kekal semakin hampir dengan tebusan akan dibebaskan dalam tempoh beberapa minggu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi