RUU Pembaharuan Semula Bandar: Nasi belum jadi bubur

BANGI, 6 RABIULAWAL – Penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibawa ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober nanti, memberi isyarat bercampur-campur. 

Plot drama yang berubah pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, semalam, boleh dilihat sebagai kelemahan kerajaan dari segi perancangan, tetapi pada masa sama boleh dianggap sebagai peluang untuk membetulkan undang-undang yang amat sensitif ini.

Kerajaan melalui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bertegas RUU URAi penting bagi menghidupkan semula kawasan bandar lama dan mengatasi masalah pembangunan terbengkalai.

Namun, naratif itu tidak cukup untuk menangkis kebimbangan rakyat. Bantahan datang bukan sahaja dari pembangkang, tetapi badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, bahkan sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri.

Ambang persetujuan jadi isu utama 

Pertikaian terbesar ialah cadangan ambang persetujuan pemilik. RUU ini mencadangkan 80 peratus bagi bangunan bawah 30 tahun, 75 peratus bagi lebih 30 tahun, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai.

Kerajaan berhujah angka ini lebih realistik kerana syarat 100 peratus sebelum ini sering menggagalkan projek pembaharuan. Namun bagi banyak pihak, ia bermakna suara minoriti boleh diketepikan, sekali gus membuka ruang “pengusiran sah” terhadap pemilik asal.

Bagi meredakan keadaan ini, kerajaan melalui pengumuman saat akhir menyatakan bahawa ambang itu akan diseragamkan kepada 80 peratus. Namun, langkah itu dilihat sebagai tindakan reaktif, bukan perancangan rapi. Dalam politik, persepsi begini mewujudkan gambaran kerajaan masuk ke Parlimen tanpa perancangan rapi.

Hak pemilik dan penyewa masih kabur 

Kebimbangan kedua ialah soal perlindungan hak pemilik asal dan penyewa berpendapatan rendah. Janji “rumah diganti rumah” memang disebut, tetapi tidak dinyatakan secara jelas dalam bentuk klausa undang-undang yang boleh mengikat. 

Rakyat mahu tahu bukan sahaja pampasan, tetapi lokasi penempatan sementara, jangka masa projek, kadar sewa transit dan hak untuk kembali ke kawasan asal. Tanpa butiran ini, janji kerajaan kedengaran abstrak, mudah ditafsir sebagai “kosmetik” untuk menyenangkan pemaju.

Malah Akta Sewa Kediaman (RTA) yang sepatutnya menyediakan perlindungan kepada penyewa masih belum dibentangkan. Ini mewujudkan jurang besar, projek pembaharuan didahulukan, tetapi jaring keselamatan sosial tertangguh. MCA misalnya secara terbuka menuntut kerajaan menumpukan dulu kepada RTA sebelum meneruskan URA.

Politik, persepsi dan kegagalan komunikasi 

Dari sudut politik, penangguhan ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak memiliki kesepakatan yang kukuh. MCA mengambil pendirian kritikal, beberapa Ahli Parlimen PKR sendiri menggesa ditangguh, manakala UMNO berbelah bahagi. Keadaan ini membuka ruang kepada Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menggesa Ahli Parlimen Sabah, Sarawak dan UMNO supaya berkecuali dalam undian.

Bagi Perikatan Nasional (PN), ia satu kemenangan naratif kerana berjaya menampilkan diri sebagai “suara rakyat menentang pemaju”.

Namun, kerajaan boleh berhujah bahawa penangguhan ini membuktikan mereka mendengar suara rakyat. Tidak ada desakan untuk meluluskan secara tergesa-gesa, sebaliknya memberi masa untuk melakukan libat urus. Dari sudut demokrasi, ia boleh dianggap sebagai tanda “semak dan imbang” berfungsi.

Satu lagi dimensi ialah hubungan Persekutuan dan Negeri. Menteri Besar negeri yang PN kuasai membantah kerana menganggap URA menceroboh kuasa negeri dalam hal tanah. Walaupun menteri menegaskan negeri kekal berkuasa mewartakan tapak URA, mesej ini gagal menembusi naratif besar bahawa Kerajaan Pusat laparkan lebih banyak kuasa. Dalam isu berkaitan tanah, persepsi sering lebih kuat daripada teks undang-undang.

Dari segi komunikasi, kerajaan jelas gagal menguasai naratif. Isu “pembangunan semula” yang boleh dianggap positif ditenggelamkan oleh persepsi negatif seperti pengusiran, kehilangan hak, perubahan dan demografi bandar.

Ketika kerajaan bercakap mengenai angka dan prosedur, rakyat bercakap mengenai rumah, komuniti dan identiti. Jurang komunikasi ini yang akhirnya memberi kelebihan kepada pembangkang.

Menanti Oktober 

RUU URA kini berada di persimpangan. Jika dibawa semula Oktober nanti tanpa menyelesaikan isu yang dibangkitkan, kerajaan berisiko dilihat degil dan tidak mempedulikan suara rakyat. 

Namu jika pindaan dilakukan, termasuk menjamin hak pemilik dalam teks undang-undang, menyediakan rangka jelas penempatan sementara, mempercepat penggubalan Akta Sewa Kediaman, dan membina konsensus politik lebih luas, kerajaan boleh mengubah naratif bahawa penangguhan ini bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kesediaan memperbaiki dasar.

Soalnya, adakah Kerajaan Perpaduan bersedia mengambil peluang ini untuk memperkukuh keyakinan atau akan sekali lagi dilihat tidak bersedia apabila Oktober menjelma?

Oleh Ziauddin Sharuddin, Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gali kubur selesai, bedah siasat jasad pelatih PALAPES esok

Next Post

SARA: 1.7 juta rakyat berbelanja RM110 juta dalam dua hari

Related Posts